Hamzah kekal Ketua Pembangkang, Dr Sam Pengerusi PN

Persetujuan dicapai secara musyawarah dalam kalangan pimpinan PAS dan Ahli Parlimen pembangkang.

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainuddin sekali lagi dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas mendapat persetujuan secara musyawarah dalam kalangan pimpinan PAS dan Ahli Parlimen pembangkang.

- Advertisement -

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada majlis Konvensyen RESET di Taman Harmoni, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai Pengerusi Perikatan National (PN) kekal.

Tuan Guru berkata, keputusan melantik semula Hamzah dibuat hasil perbincangan bersama dalam PAS termasuk Ahli-ahli Parlimen yang lain.

“Kita sendiri menjadi Pengerusi Perikatan Nasional dan kita juga turut mendapat sokongan Ahli-Ahli Perlimen yang lain untuk melantik Dato’ Seri Hamzah,” katanya.

Hamzah diyakini untuk meneruskan kewibawaan dalam menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang Perikatan Nasional.

Sementara itu pada sidang media, Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan bahawa parti Wawasan Negara telah dipersetujui untuk bersama Perikatan Nasional.

“PAS sudah bersetuju untuk parti Wawasan Negara bersama kita. Tidak ada masalah.

“Permohonan mereka dan dokumen berkaitan telah diteliti serta mendapat persetujuan majoriti parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional,” tegas beliau.

Mengulas hubungan dengan BERSATU, Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan bahawa perkara itu terpulang kepada parti berkenaan sama ada mahu terus kekal atau mengambil keputusan sebaliknya.

“Tentang BERSATU, terpulang kepada mereka. Sama ada hendak keluar atau kekal, itu hak mereka,” tegasnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri dan Hamzah pada gimik pelancaran Majlis Konvensyen RESET Malaysia.

Ketika diminta mengulas tindakan beberapa pihak dalam BERSATU yang dilihat menyerang PAS, beliau berkata tidak semua perkara perlu dijawab.

“Ada yang perlu kita jawab dan ada yang tidak perlu kita jawab. Biar masyarakat yang menjawab,” hujahnya.

Pada majlis itu juga. beliau turut mendedahkan beberapa parti baharu dijangka diumumkan menyertai gabungan pembangkang dalam satu program di Negeri Sembilan pada malam ini.

Beliau turut mendedahkan beberapa pimpinan politik utama sebelum ini, bekas-bekas wakil rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), akan mengumumkan untuk menyertai PAS pada malam ini. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -