357 ahli BERSATU, tokoh profesional serah borang PAS

Mazlan (tengah) menyerahkan borang keahlian PAS kepada Dr Ahmad Samsuri.
- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah menerima sebanyak 357 borang keahlian PAS daripada kalangan bekas ahli BERSATU parlimen Pokok Sena.

- Advertisement -

Penyerahan borang keahlian itu diwakili pengasas BERSATU Bahagian Pokok Sena, Yahya Musa pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Menurutnya, gerakan keluar beramai-ramai dari parti bekas komponen Perikatan Nasional (PN) itu bermula sejak 9 Jun lalu.

Beliau juga memaklumkan akan lebih ramai lagi ahli BERSATU yang akan bertindak keluar parti dan menyertai PAS, dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, majlis pada malam itu PAS Kedah juga menerima borang keahlian PAS dari Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) Hospitality Management Sdn Bhd, Dato’ Megat Shahrul Azman Abas.

Beliau memulakan kerjaya pada 1996 bersama Gopeng Berhad sebelum menerajui Tanjung Sanctuary Langkawi, yang kini dikenali sebagai The Ritz-Carlton Langkawi. 

Pada 2007, Megat Shahrul dilantik sebagai Ketua Pelancongan di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), seterusnya  berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan di Syarikat Prasarana Negara Berhad bermula 2011 hingga 2013.

Yahya (tengah) kelihatan teruja ketika menyerahkan borang keahlian PAS kepada Dr Ahmad Samsuri.

Beliau juga seorang Akauntan Bertauliah yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) sejak tahun 1996 serta menjadi ahli Fellow Chartered Certified Accountants (FCCA).

Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pelancongan dan Hospitaliti dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga telah mengikuti program eksekutif di Nanyang Technological University dan Cornell University.

Megat Shahrul yang juga pemegang pensijilan Certified Hotel Administrator (CHA) dan Certified Hospitality Trainer (CHT), 2010 itu juga pernah menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Pelancongan Langkawi 2026 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Beliau kini diberi amanah mengurus hartanah dan aset perhotelan di Port Dickson, Kuching serta United Kingdom.

Megat Shahrul (tengah) antara yang turut menyerahkan borang keahlian PAS kepada Dr Ahmad Samsuri.

Megat Shahrul juga turut memegang beberapa jawatan penting, antaranya, Naib Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MАНО), Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel Malaysia (MAH), dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PATA Malaysia Chapter.

Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Koperasi Anak Pahang (KOPEKAP) dan Penasihat Program Hospitaliti Politeknik dan TVET Malaysia.

Sementara itu, PAS Kedah turut menerima borang keahlian PAS dari bekas Pengurus Besar Menara Kuala Lumpur, Mazlan Mahmud.

Beliau juga merupakan bekas Setiausaha Politik mantan Menteri Penerangan, Dato’ Zainudin Maidin.

Semua borang keahlian PAS itu diserahkan kepada Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -