Gencatan senjata AS terhadap Iran sekadar helah

Susun langkah sebelum perang besar

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dilihat memastikan semua sudut ancaman yang mampu mengundang bahaya terhadapnya dan Israel dapat dikawal sebelum memulakan semula peperangan.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu termasuk mengambil kira potensi ancaman dari Yaman, Iraq dan Lubnan dalam konflik yang dijangka bakal dilancarkan semula.

- Advertisement -

Menurutnya, kenyataan Majlis Keselamatan Tertinggi Rusia sebelum ini menyifatkan gencatan senjata sebagai helah AS untuk memperkukuh armada dan bala tenteranya bagi menghadapi Iran.

“Pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menyambung kembali gencatan senjata antara AS dan Iran ke satu tempoh tidak ditetapkan tanpa perbincangan dan persetujuan dengan Iran adalah sesuatu yang di luar jangka,” katanya dalam media sosial miliknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, tidak lama selepas itu Rumah Putih mengumumkan gencatan senjata disambung selama lima hari hingga Ahad ini.

Menurutnya, walaupun gencatan senjata disambung, sekatan laut terhadap Iran masih diteruskan, sama seperti senario yang berlaku terhadap Venezuela sebelum ini.

“Menangguhkan gencatan senjata sambil meneruskan ‘naval blockade’ (sekatan laut) mungkin bermakna sesuatu yang lebih besar bakal berlaku,” bimbangnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa perkembangan turut menimbulkan persoalan termasuk tindakan Rumah Putih memanggil pulang duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee tanpa diketahui sebabnya.

Selain itu, Muhammad Khalil memaklumkan, Jabatan Negara Amerika Syarikat turut mengarahkan rakyatnya di Lubnan supaya segera meninggalkan negara itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kapal pengangkut pesawat tentera laut AS, USS Gerald R Ford sedang dalam perjalanan ke Timur Tengah dan dijangka tiba berhampiran Selat Hormuz dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Tambah beliau, keadaan itu menjadikan terdapat tiga kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat berada di rantau berkenaan, termasuk satu yang ditempatkan berhampiran Bab al-Mandab bersama kapal pengiringnya.

Beliau turut memaklumkan tentera Amerika Syarikat telah berundur sepenuhnya dari pangkalan udara Qasrak di Hasakah, Syria ke Iraq, dipercayai ditempatkan di pangkalan di wilayah Kurdistan.

Menurutnya, pergerakan pesawat kargo tentera AS, Boeing C-17 Globemaster dari AS dan Eropah ke Timur Tengah menunjukkan perancangan telah dibuat lebih awal.

Dalam pada itu, beliau menceritakan bahawa, rundingan terus antara Lubnan dan Israel dijangka berlangsung di Washington DC, namun ditentang Hizbullah dan majoriti ahli Parlimen Lubnan yang menyokong ‘Axis of Resistant’.

“Penentangan itu turut disokong kebanyakan rakyat Lubnan yang menganggap rundingan berkenaan sebagai kesilapan besar kerajaan negara itu,” katanya.

Menurutnya lagi, langkah tersebut dilihat bertujuan memecah belahkan Lubnan dan mewujudkan ketidakstabilan dalam kerajaan negara berkenaan.

“Lihat sahaja bandar dan kampung di Lubnan yang bersempadan dengan negara haram Israel. Ia ditinggalkan begitu sahaja oleh tentera Lubnan.

“Dan kini sedang diranapkan sebagaimana Gaza oleh tentera penjajah rejim Zionis Israel, dan kini Hizbullah sedang menghalang usaha tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau turut mendedahkan bahawa, sekutu kuat AS dan negara haram Israel, Lebanon Force yang sebelum ini terpinggir kini menjadi sebahagian daripada kerajaan dan mendesak pelucutan senjata Hizbullah serta rundingan dengan negara haram Israel.

“Kumpulan itu juga dilihat menguasai media dan memperluaskan pengaruh sehingga wujud suara dalam kalangan rakyat Lubnan yang mendesak kerajaan memerangi Hizbullah.

“Semoga Allah memelihara Iran dan seluruh dunia Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -