
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu terus memperkukuh sokongan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sejumlah RM7.5 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2026.
Peruntukan tersebut akan memberi manfaat kepada seramai 547 pelajar yang ditaja dalam pelbagai program kemahiran dan TVET di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam melahirkan tenaga kerja mahir, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri semasa.
“Program ini melibatkan pelbagai bidang teknikal dan industri seperti automotif, kimpalan, teknologi elektrik, aeroangkasa, maritim, hospitaliti serta teknologi industri.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan serta tajaan latihan kemahiran melalui lebih 15 institusi dan pusat latihan kemahiran termasuk Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), TATI University College (TATIUC).
“Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu, Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Ranaco, RUANE TATI, Pusat Latihan Pendidikan Universal untuk Pekerjaan (UniC.E.T.E), Institut KT Skill, Pusat Teknologi Lanjutan (ADTEC), Real Milennium Health & Beauty Academy dan Miza Electrical Centre.
“Di samping itu, program kemahiran turut merangkumi bidang perkhidmatan dan industri kreatif seperti hospitaliti, kulinari, kecantikan serta kemahiran teknikal lain yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan,” katanya pada sesi jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Yusop Majid (PAS-Permaisuri).
“Apakah kerajaan negeri mengambil kira bahawa pendidikan TVET adalah perlu dan penting dalam membina peluang pekerjaan serta memenuhi keperluan pasaran kerja yang pelbagai?
“Selain itu, apakah langkah-langkah yang telah diambil agar pelajar yang tercicir dalam bidang akademik dapat mengisi ruang dalam bidang kemahiran?” soal Yusop.
Sehubungan itu, Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan program TVET, kerajaan negeri merancang untuk memperluas kerjasama industri khususnya dalam sektor aeroangkasa, teknologi tinggi dan digital.
Katanya, pihaknya juga bercadang untuk menambah program kemahiran baharu berimpak tinggi yang selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa, antaranya dalam bidang deck operation (maritim), boiler, serta bidang teknikal dan industri lain yang mempunyai permintaan tinggi dalam sektor perkapalan, tenaga dan industri berat.
“Selain itu kami berhasrat untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan melalui latihan berasaskan industri (industry-driven training) seperti melalui kerjasama dengan Batik Air dan Perkhidmatan Kejuruteraan MAB (MABES).
“Selain memperkukuh laluan pendidikan fleksibel antara TVET dan akademik bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar, sebagaimana inisiatif yang dilaksanakan oleh Kolej Universiti TATI (UCTATI) yang menyediakan laluan bersepadu daripada peringkat sijil, diploma hingga ke peringkat ijazah dalam bidang teknikal dan teknologi,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











