
SHAH ALAM: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN–Sijangkang) menggesa Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh pelbagai aspek tadbir urus termasuk ekonomi, keselamatan makanan, pengurusan banjir serta kesejahteraan rakyat, susulan kedudukan kewangan negeri yang disifatkan kukuh.
Beliau berkata, hasil kerajaan negeri bagi tahun 2025 berjumlah RM3.021 bilion dengan rizab berakhir Disember 2025 sebanyak RM4.736 bilion, sekali gus menunjukkan tahap kemampanan kewangan yang baik.
“Ini menunjukkan kemampuan kerajaan negeri menghadapi krisis termasuk kesan geopolitik di Timur Tengah yang memberi impak kepada kos tenaga seperti petrol, diesel dan gas,” katanya ketika sesi perbahasan pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Ahmad Yunus turut memaklumkan kutipan caj air negeri berjumlah RM48 juta dan mencadangkan sebahagian daripadanya digunakan untuk memperkukuh sumber air mentah Selangor, termasuk meneroka semula potensi kawasan lombong yang telah direkodkan sebagai data sedia ada.
Mengulas Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor berjumlah RM131 juta, beliau menyifatkan jumlah tersebut sebagai rendah dan perlu diteliti semula secara lebih terperinci.
“Fokus utama kerajaan negeri perlu diberikan kepada isu keselamatan makanan, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut merujuk data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menunjukkan peningkatan kadar kehilangan pekerjaan di Selangor, termasuk dalam sektor tidak formal.
Katanya, kenaikan kos bahan api turut memberi tekanan kepada rakyat, khususnya golongan pekerja yang terkesan dengan kos pengangkutan harian.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai pelaksanaan program pemadanan pekerjaan (job matching) bagi membantu golongan kehilangan kerja meningkatkan kemahiran dan berdikari.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan pelaksanaan beberapa program kesihatan termasuk Bantuan Selangor Sihat yang dikatakan berlaku kelewatan pembayaran kepada pembekal farmasi sejak Jun 2025.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes tuberkulosis (TB) di Selangor yang disifatkan sebagai kluster besar pada masa ini.
Ahmad Yunus berkata, isu infrastruktur dan banjir perlu diberi perhatian serius di beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Kampung Jaya Sepakat dan Sijangkang.
“Antara yang dibangkitkan ialah status projek mitigasi banjir di Sungai Rasau, Kompleks Sukan Shah Alam serta loji rawatan air, selain projek yang ditangguhkan atau mengalami perubahan reka bentuk,” katanya.
Projek Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Sijangkang serta naik taraf sistem saliran sepanjang 22.4 kilometer di Jalan Garuda turut diminta oleh beliau penjelasan lanjut.
Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut membangkitkan isu tapak pembakaran sampah haram di Sijangkang dan kawasan sekitar yang masih berulang sejak 2018.
Selain itu, beliau menegaskan isu pencemaran bau dan sisa industri di kawasan Teluk Panglima Garang, Kebun Baru dan Batu 9 masih berlarutan, termasuk pelepasan efluen oleh sebuah kilang ke sistem saliran.
Beliau turut meminta status terkini pembangunan Projek Terminal 3 Pulau Carey serta Institut Darul Ehsan (IDRIS), termasuk bahagian projek yang masih tidak mencapai kemajuan seperti dirancang.
Dalam masa sama, beliau turut menuntut penjelasan mengenai libat urus bersama komuniti Orang Asli di kawasan terbabit.
Mengulas isu ladang babi tradisional, beliau merujuk kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak lagi menginginkan operasi ladang tersebut di negeri ini atas faktor pencemaran.
Beliau meminta pendirian kerajaan negeri serta pelan penyelesaian termasuk pengurusan pencemaran sedia ada di kawasan terlibat seperti Tanjung Sepat. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











