‘Jangan tipu rakyat’ mesej paling kuat dari bakal pengundi

Menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-16 Johor

- Advertisement -

MUAR: Sentimen ‘jangan tipu rakyat’ menjadi mesej paling kuat yang diterima daripada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali.

- Advertisement -

Menurut beliau, mesej itu bukan sahaja disuarakan pengundi Melayu, malah turut dilontarkan pengundi bukan-Melayu yang ditemuinya ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

Kata pengamal undang-undang itu, PERIKATAN NASIONAL (PN) perlu memanfaatkan sentimen itu dengan menawarkan politik yang jujur serta tidak mengelirukan rakyat.

“Apabila kita turun berjumpa rakyat, mereka banyak bertanya. Yang mengejutkan, apabila kita berada di kawasan bandar terutama pengundi Cina, mesej mereka sangat jelas, ‘You menang tak apa, you bertanding tak apa, jangan tipu’.

“Mesej itu saya dengar bukan di satu tempat sahaja tetapi di pelbagai lokasi. Seorang pengundi wanita yang mengajak calon PERIKATAN NASIONAL makan durian juga berpesan, ‘Kalau menang, jangan tipu’.

“Ini menunjukkan rakyat mahukan wakil rakyat yang ikhlas bekerja,” katanya dalam podcast Kekal Tenang Edisi Khas PRN Johor bersama dihoskan oleh Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Menurutnya, minggu pertama kempen lebih tertumpu kepada menguji penerimaan pengundi, manakala minggu kedua menjadi fasa paling kritikal bagi menggerakkan jentera dan mempengaruhi kawasan hitam, putih serta kelabu.

Maklum beliau yang berada di Johor sejak dua hari sebelum penamaan calon, penerimaan terhadap calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Gambir, Suraya Sulaiman setakat ini berada pada tahap yang baik.

“Beliau orang tempatan dan kampungnya berada dalam salah satu Pusat Daerah Mengundi di Gambir. Orang mengenali beliau. Beliau juga seorang usahawan, mengendalikan NGO dan persatuan.

“Suraya juga dikenali terus membantu masyarakat walaupun tewas pada pilihan raya lalu. Itu antara faktor utama yang menjadikan beliau calon yang sesuai,” ujarnya.

Mengulas pola sokongan di Johor, Rafique mengakui negeri itu masih menjadi kubu kuat BN, namun terdapat sedikit penurunan sokongan yang membuka peluang kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Fixed deposit Umno masih ada terutama di kawasan majoriti Melayu. Tetapi ada sedikit penurunan dan peluang untuk mengejar itu tetap wujud. Penentu utama ialah pengundi atas pagar,” katanya.

Beliau berkata, keputusan PERIKATAN NASIONAL bertanding di 33 daripada 56 kerusi DUN merupakan strategi yang munasabah kerana gabungan itu masih berpeluang membentuk kerajaan sekiranya memperoleh sekurang kurangnya 29 kerusi.

Katanya, jika gagal membentuk kerajaan sekali pun, PERIKATAN NASIONAL masih mampu menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan.

“Rakyat Johor ada dua pilihan, sama ada memberi peluang kepada PERIKATAN NASIONAL membentuk kerajaan atau sekurang kurangnya menghantar pembangkang yang kuat sebagai semak dan imbang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan PRN Johor sebagai pentas penting bagi PERIKATAN NASIONAL membina momentum menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Mungkin ini bukan sasaran terakhir kita, tetapi ini adalah jalan menuju Putrajaya,” katanya.

Rafique turut mempersoalkan tindakan BN dan PH yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, tetapi bertanding sesama sendiri di Johor.

“Di Putrajaya mereka bergabung membentuk kerajaan, tetapi apabila datang ke Johor mereka bertukar baju dan saling menyerang. Rakyat melihat perkara ini dan mempersoalkannya.

“Pilihan raya Johor memberi peluang kepada rakyat menghantar isyarat bahawa mereka tidak menyukai penipuan politik seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan tidak lagi mudah dipengaruhi.

“Anak muda sekarang sanggup mendengar penjelasan. Mereka bertanya dan mahu memahami. Mereka mengikuti perkembangan politik dan menjadi kelompok pengundi atas pagar yang sangat penting,” ujarnya.

Rafique berkata, beberapa laporan media turut menggambarkan persaingan yang semakin sengit pada PRN Johor.

Menurutnya, laporan The Star mendakwa BN mengadakan mesyuarat tergempar selepas menjangkakan jumlah kerusi berpotensi dimenangi berkurangan daripada 40 kepada 35 dengan 14 kerusi berada dalam keadaan bahaya.

Beliau berkata, laporan Sinar Harian pula menyebut peluang PH membentuk kerajaan majoriti mudah kini berada pada kedudukan 50 50.

“Saya melihat kedua-dua pihak sebenarnya sukar membaca kecenderungan pengundi, khususnya pengundi bukan Melayu.

“BN merasakan mereka boleh mendapat undi PH, PH pula merasakan mereka boleh mendapat undi BN. Sebab itu saya melihat kedua-duanya berada dalam keadaan bimbang,” katanya.

Menurut beliau, PERIKATAN NASIONAL memilih untuk tidak mengemukakan janji yang sukar ditunaikan.

“PERIKATAN NASIONAL tidak datang dengan janji kosong. Kita tidak menjanjikan perkara yang tidak masuk akal.

“Apa yang kita bawa ialah menjaga kebajikan rakyat, membawa suara rakyat dan bekerja dengan ikhlas. Saya fikir mesej itu lebih mudah difahami dan lebih jujur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera PAS dan BERSATU yang disifatkannya memberi komitmen besar sepanjang kempen di Gambir.

Katanya, sejak hari penamaan calon lagi kedua dua parti menggerakkan jentera secara aktif selain menerima kehadiran beberapa pimpinan utama PERIKATAN NASIONAL bagi membantu kempen.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi DUN Gambir memberi sokongan kepada Suraya Sulaiman serta semua 33 calon PERIKATAN NASIONAL pada PRN Johor.

“Kita bertanding di 33 kerusi. Berilah kepercayaan kepada PERIKATAN NASIONAL. Insya-Allah kita mampu membentuk kerajaan di Johor,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026

- Advertisement -