
MARKAS PAS Kawasan Bakri menjadi pusat kepada dua kontinjen dari luar Johor, Terengganu dan Selangor. Sentiasa keluar masuk pimpinan dari kedua-dua negeri dan saya kira sangat bertuah kerana beberapa kali bertemu dengan mereka dan dapat bertukar-tukar maklumat dan pandangan berkenaan politik tanah air.
Antaranya ialah Roslan Shahir Mohd Shahir atau Roslan SMS, seorang penulis yang sering memberikan pandangan politik tajam beliau sebagai salah seorang kolumnis di Harakah.
Walaupun kami berdua sama-sama menyumbang penulisan di Harakah, kami tidak pernah bertemu dan duduk berbincang secara serius. Bagi saya ini satu peluang keemasan kerana pastinya pengalaman beliau jauh mendahului saya, sebagai bekas Setiausaha Akhbar Presiden PAS.
Dalam banyak kisah yang beliau ceritakan semalam, saya amat tertarik dengan satu ungkapan yang beliau katakan sendiri, terus kepada Presiden PAS suatu waktu dahulu. Katanya Tuan Guru bukan merobohkan benteng Umno, tetapi Tuan Guru masuk ke dalam kota Umno melalui pintunya. Bermakna tiada kerosakan yang dilakukan oleh Presiden PAS dalam usaha beliau mempertautkan kembali perpaduan Melayu Islam dengan parti terbesar itu.
Kekayaan Umno, tidak menggiurkan PAS
Ini amat benar sekali, Umno tidak runtuh kerana serangan PAS, tetapi kerana nafsu dan keegoan yang menguasai diri mereka sehingga sanggup menggadaikan prinsip Islam yang sepatutnya diamalkan oleh orang-orang Islam dalam pemerintahan.
Sejarah jelas menunjukkan yang kejatuhan sesuatu empayar yang kuat itu bukan kerana serangan musuh tetapi asbab pengkhianatan sama ada dari dalam, dari kawan dan juga dari jiwa mereka sendiri kerana meninggalkan Islam.
Sedikit demi sedikit perjalanan politik PAS walaupun penuh dengan halangan dari musuhnya, sebenarnya telah berjaya membina jati diri yang sangat kuat. Prinsip PAS akhirnya dikenali sebagai sebuah jemaah yang tidak mengharapkan balasan dunia, taat kepada pimpinan, benci kepada dosa dan sanggup melakukan apa sahaja demi Islam, hatta Presiden PAS juga pernah dikeluarkan dari jemaah kerana tidak mahu mematuhi disiplin ini.
Berbeza dengan Umno yang dilahirkan dalam istana emas, sentiasa cukup dengan kemewahan, menjadi lubuk bagi penggiur harta benda, kekayaan dan pangkat serta nama. Mereka mula berebut-rebut kekayaan yang ada dan kemewahan hidup boleh dihasilkan jika pandai mengolah suasana, kenal dengan pimpinan dan pastinya jika pandai menghulurkan sesuatu sebagai balasan.
Beza pegangan PAS dan Umno
Kontranya dengan PAS. Jika kamu meminta jawatan, insya-Allah, kamu akan tersungkur. Kalaupun tidak segera, lambat cepat, ia pasti akan tertendang keluar. PAS mempunyai sikap tidak menamakan diri sebagai pemimpin.
Ia tiada dalam mana-mana parti. Dalam Umno, melobi adalah sesuatu yang wajib jika mahu bertanding. Dan kos melobi itu, lumayan sekali. Dan jika menang, masa untuk menuntut semula kos itu akan bermula.
Perseteruan PAS dan Umno ini sungguh panjang. Sudah menjangkau 75 tahun, usia jubli intan. Pernah beberapa kali usaha untuk bersama, tetapi pemisahnya sangat nyata iaitu Islam. Pembatas inilah yang menyebabkan ahli-ahli PAS tidak teringin dengan kekayaan Umno yang meragukan sumbernya. Tiada juga keistimewaan bagi ulama dalam Umno.
Jika ada sekalipun, hanya sebagai pelengkap majlis, pembaca doa. Larangan mereka dengan perkara yang bertentangan dengan agama, dipandang sepi. Begitulah kisah permulaan ulama meninggalkan Umno kerana larangan mereka terhadap isu loteri, kabaret, ‘fun fair’ yang dijalankan oleh Umno bagi mengutip dana, tidak diendahkan. Maka mereka keluar dan menubuhkan PAS.
Prinsip jelas PAS
Sangat jelas sejarah ini betapa PAS sanggup meninggalkan Umno ketika di kemuncak. Kisahnya berulang apabila PAS yang dijemput menyertai Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional pada 1973, dikeluarkan secara licik oleh Umno dari kerajaan pada tahun 1977.
PAS hilang segalanya termasuklah sebilangan besar ahli mereka yang marahkan pimpinan. Tetapi PAS tidak menghina diri meminta kembali jawatan yang mereka sandang dengan merayu mahu menyertai Umno semula. Tidak sama sekali.
Sehingga kepada tahun 2018 apabila PH mengajak PAS menyertai mereka dengan keadaan mereka menjadi kerajaan, PAS tetap kekal dengan prinsip Islam mereka. Sebaliknya PAS memilih Umno yang telah jatuh tertiarap sebagai rakan. Sedangkan jika menurut logik pemikiran, PH lah yang patut PAS pilih, senang-senang boleh dapat menteri.
Panjang jika mahu disebutkan semua berkenaan prinsip PAS yang teguh. Cukuplah saya katakan yang kerana menurut Islam dan meyakini dengan sepenuh hati segala perancangan, strategi, organisasi dan semua bentuk fikiran dan usaha manusia itu, ada satu lagi yang gagal difahami oleh musuh PAS, sama ada Umno mahupun PH iaitu pertolongan dari Allah.
Dari benci jadi kasih
Jadi jelas dan nyata antara PAS dan Umno, kita mempunyai benteng yang cukup kuat untuk dirobohkan. Namun dengan kebijaksanaan Presiden PAS, seperti kata Roslan SMS, Presiden hanya membuka pintu benteng itu, tanpa perlu kita bersusah payah mencari segala jentera dan mesin untuk memusnahkan tembok itu.
Sekarang, orang Umno sudah mulai masuk ke bentang sebelah, melihat dan meninjau sendiri keadaan PAS. Segala persepsi, su’ul dzan yang bersarang selama puluhan tahun dahulu menjadi semakin rapuh. Tidak sedikit yang masuk PAS. Ada yang sudah mencair ibarat ais di bawah terik matahari. PAS tidak lagi digeruni oleh orang-orang Umno.
Kerana sudah memahami keadaan sebenar PAS, seruan Presiden PAS untuk ahli Umno mengundi PAS dan ahli PAS mengundi Umno, sudah disambut dalam beberapa kali pilihan raya sama ada umum, negeri mahupun kecil.
Tidak mustahil kali ini di Johor, bagi 11 kerusi yang PAS tandingi, ahli Umno yang kurang yakin dengan pimpinan mereka takut pisang berbuah dua kali, akan mengundi PAS. Dan hanya PAS yang ada jaminan mereka tidak akan bergabung dengan DAP. Itulah yang paling ditakuti ahli-ahli Umno.
MOHD NASIR ABDULLAH
11 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 10/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











