Sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL meningkat

Penyertaan PAS PRN Johor untuk kekalkan kuasa Melayu

- Advertisement -

MERSING: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan, sokongan rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL dan calon gabungan itu menunjukkan peningkatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini.

“Data yang ada pada waktu ini menunjukkan sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL, calon-calon kita sangat baik dan sangat meningkat. Alhamdulillah,” ujarnya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega N.32 Endau di Dataran Mersing Kanan, di sini malam tadi.

Mengulas kedudukan Barisan Nasional (BN), Tuan Ibrahim mempersoalkan kemampuan gabungan itu mempertahankan 40 kerusi yang dimenangi sebelum ini, sambil menyebut perkembangan semasa menunjukkan Umno berdepan cabaran.

“Apakah Barisan Nasional boleh mengekalkan 40 kerusi yang dimenangi? Data yang ada menunjukkan bahawa Barisan Nasional berdepan dengan krisis dan tidak mustahil dia akan hilang beberapa kerusi daripada Umno,” jelas beliau.

Tuan Ibrahim memaklumkan, PAS melalui PERIKATAN NASIONAL meletakkan 11 calon pada PRN Johor kali ini, dengan penyertaan itu bagi memastikan kuasa Melayu di Johor terus kekal.

“Kali ini PAS melalui PERIKATAN NASIONAL kita meletakkan 11 calon. Awal-awal kita beritahu hari ini ada komen daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, bahawa PAS tidak akan menyertai kerajaan, tidak akan dijemput menyertai kerajaan.

“Kita dah tegaskan sejak awal penyertaan PAS untuk pastikan bahawa kuasa Melayu di Johor terus kekal. Kita bersedia sekiranya sesuatu yang berlaku kepada Umno yang memerlukan dukungan tanpa cukup bilangan untuk mentadbir, kita bersedia.

“Namun kita kekal sebagai pembangkang di Johor. Pembangkang yang berwibawa,” tegasnya lagi.

Undi 18 belum terjemah PRN lepas

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa, landskap politik Johor kini berbeza berbanding pilihan raya negeri terdahulu, khususnya selepas pengundi berusia 18 tahun belum menterjemahkan sokongan mereka ketika itu.

“Dan senario yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Johor dulu menyaksikan seluruh negara mengalami perubahan besar dalam konteks politik negara.

“Umno kehilangan semua kerusi di Terengganu, di Kedah, di Perlis, tidak memenangi sebarang kerusi. Di Terengganu 40 kosong, di Kedah ‘ghaibal ghuyub’. Di Perlis yang jadi satu masa jadi kubu Barisan Nasional juga hilang,” hujahnya.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan PAS dan PERIKATAN NASIONAL untuk tidak bertanding di semua kerusi Johor membawa satu isyarat bahawa matlamat utama gabungan itu adalah memastikan Melayu Islam Johor terus kekal mentadbir negeri.

“PAS dan PN kita tidak bertanding semua kerusi di Johor. Ini satu isyarat. Kenapa PERIKATAN NASIONAL tak bertanding semua? Kerana matlamat kita masuk pilihan raya pada kali ini nak pastikan Melayu Islam Johor terus kekal mentadbir,” tegasnya lagi.

Beliau menerangkan, terdapat kawasan yang menyaksikan BN berdepan saingan daripada Pakatan Harapan (PH), menyebabkan PAS menggerakkan penyokongnya untuk mengundi BN di kawasan terbabit.

“Ada tempat Barisan Nasional perlu lawan Pakatan Harapan. Lalu kita gerakkan penyokong-penyokong kita untuk undi Barisan Nasional. Pastikan PH tidak menang di Johor,” serunya.

Tuan Ibrahim mengingatkan pengundi supaya mengambil pengajaran daripada perkembangan politik di beberapa negeri, termasuk perubahan sokongan yang berlaku sebelum ini.

“Ambil pengajaran berlaku di Negeri Sembilan. Apatah lagi di Endau, gelombang perubahan yang berlaku di Kelantan turun ke Terengganu tahun 1999. Di Pahang negeri jiran, pilihan raya baru ni PERIKATAN NASIONAL ada 17 kerusi DUN. BN juga 17.

“Insya-Allah biasa yang duduk sempadan ni lebih cepat berubah daripada tempat yang jauh daripada sempadan,” katanya. – HARAKAHDAILY10/7/2026

- Advertisement -