PAS kekal berprinsip, utama kepentingan ummah seluruhnya

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor menegaskan keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU membuktikan parti itu kekal berpegang teguh kepada prinsip perjuangan serta tidak terikat dengan pertimbangan politik jangka pendek.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kelmarin mengenai hala tuju hubungan politik antara PAS dan BERSATU.

- Advertisement -

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat melalui proses syura yang menjadi teras pentadbiran parti, selain mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulamak PAS dari sudut dasar, hukum dan maslahah perjuangan.

“Pemuda PAS Selangor meyakini bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti adalah berasaskan pertimbangan yang mendalam serta berpaksikan kepentingan Islam dan ummah.

“Keputusan ini juga menunjukkan PAS sentiasa mendahulukan kestabilan negara dan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan politik yang bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam keadaan landskap politik negara sentiasa berubah, PAS perlu terus menilai bentuk kerjasama yang mampu memperkukuhkan perjuangan parti serta memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru katanya, keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU merupakan sebahagian daripada usaha memastikan perjuangan PAS kekal berada pada landasan diyakini dan selaras dengan matlamat perjuangan Islam dibawa parti itu sejak sekian lama.

Pada masa yang sama, Sukri berkata, PAS tetap mengambil pendekatan terbuka dengan meneroka ruang persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang bersesuaian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, pendekatan tersebut membuktikan PAS bukan sekadar mempertahankan prinsip perjuangan, malah sentiasa berpandangan jauh dalam usaha membina kekuatan politik yang lebih tersusun demi kepentingan ummah dan negara.

“Keterbukaan ini juga mencerminkan kematangan PAS dalam mengurus realiti politik semasa tanpa mengorbankan asas perjuangan yang menjadi identiti parti,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS supaya terus memelihara kesatuan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan dalam organisasi.

Katanya, kekuatan PAS selama ini banyak bergantung kepada kesatuan saff, disiplin organisasi dan wala’ kepada keputusan yang diputuskan melalui proses syura.

“Dalam perjuangan yang panjang ini, kesatuan saff, disiplin organisasi dan wala’ kepada keputusan syura merupakan faktor utama yang memastikan PAS terus kukuh dan dihormati.

“Perbezaan pandangan boleh diraikan dengan adab dan hikmah, namun keputusan yang telah dibuat perlu dihormati demi menjaga kekuatan jamaah,” tegasnya.

Beliau turut menyambut baik pendirian PAS yang membuka ruang kepada penyertaan lebih ramai tokoh akademik, profesional, pemimpin masyarakat dan aktivis untuk bersama memperkukuhkan perjuangan parti.

Menurutnya, perkembangan tersebut akan menambah kekuatan PAS dalam menghadapi cabaran semasa, selain memperluaskan peranan parti dalam menawarkan penyelesaian kepada pelbagai isu rakyat dan negara berasaskan Islam.

“PAS akan terus istiqamah memimpin perjuangan dengan prinsip, hikmah dan ketegasan demi memastikan Islam terus menjadi panduan dalam pembinaan masyarakat dan negara,” katanya.

Terdahulu, PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

Ia diumumkan Presiden PAS selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam landskap politik semasa negara. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -