
KUANTAN: PAS menyangkal dakwaan segelintir pihak, khususnya daripada Umno dan Pakatan Harapan (PH), yang cuba menggambarkan parti itu kehilangan kekuatan politik serta sumber kewangan selepas menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, persepsi tersebut bersifat dangkal dan menunjukkan kegagalan memahami asas perjuangan serta pendekatan politik yang menjadi pegangan PAS sejak sekian lama.
“Hakikatnya, kerjasama politik yang dibina oleh PAS tidak pernah berteraskan kepentingan material atau keuntungan jangka pendek. Sebaliknya, PAS sentiasa meletakkan maslahat ummah, kestabilan negara serta kepentingan rakyat sebagai pertimbangan utama dalam setiap keputusan politik yang diambil.
“Sejarah telah membuktikan perkara ini. Ketika Umno berada pada saat paling mencabar selepas PRU-14, PAS tampil menghulurkan tangan melalui pembentukan Muafakat Nasional. Langkah tersebut bukan dibuat kerana kepentingan politik sempit, tetapi atas kesedaran bahawa penyatuan umat Melayu Islam merupakan keperluan besar ketika itu.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menuduh PAS sebagai pihak yang meruntuhkan Muafakat Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bahkan kata beliau, realitinya, keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama tersebut datang daripada keputusan kepimpinan tertinggi Umno sendiri melalui Majlis Kerja Tertinggi parti itu.
“Fakta sejarah ini tidak boleh dipadam atau diputarbelitkan mengikut kepentingan politik semasa.
“Malah hari ini, Umno lebih selesa bersama DAP dan PH demi tampuk kuasa berbanding penyatuaan ummah sepertimana yang sedang berlaku di Persekutuan, Pahang dan juga Perak,” katanya.
Beliau berkata, keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan BERSATU perlu dilihat dalam konteks mempertahankan prinsip dan integriti perjuangan parti.
“PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, namun kerjasama tersebut mestilah dibina atas asas saling menghormati, mematuhi persefahaman yang dipersetujui serta tidak mencabuli prinsip-prinsip asas perjuangan PAS.
“PAS bukan sebuah parti yang bergerak berdasarkan emosi atau tekanan politik semasa. PAS mempunyai prinsip, dasar dan hala tuju yang jelas. Apabila terdapat perkara yang menyentuh atau mengganggu asas-asas tersebut, maka kepimpinan parti bertanggungjawab mengambil langkah yang difikirkan terbaik demi menjaga integriti perjuangan
“Atas sebab itu, keputusan yang dibuat oleh PAS bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya menunjukkan ketegasan parti dalam mempertahankan prinsip. PAS memilih untuk kekal berprinsip walaupun berdepan pelbagai tuduhan dan serangan politik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, PAS kekal komited terhadap agenda penyatuan ummah dan sentiasa terbuka untuk menjalinkan persefahaman politik dengan mana-mana pihak yang menghormati prinsip perjuangan serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
“Pintu rundingan dan kerjasama politik sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia menghormati prinsip perjuangan, mengutamakan kepentingan rakyat serta berkongsi aspirasi untuk membina masa depan negara yang lebih baik.
“PAS tidak pernah rugi dengan mana-mana kerjasama politik yang dibina. Keuntungan terbesar PAS ialah apabila prinsip terus dipertahankan, perjuangan terus diperkasakan dan kepercayaan rakyat terus dipelihara.
“Dalam politik, kekuatan sebenar bukan terletak pada jumlah dana atau kedudukan sementara, tetapi pada kemampuan mempertahankan prinsip ketika berhadapan dengan ujian,” katanya.
Katanya, ahli PAS juga yakin setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti adalah berasaskan pertimbangan syarak, maslahat perjuangan dan kepentingan ummah.
“Selagi keputusan itu berpaksikan prinsip dan dasar perjuangan, maka menjadi tanggungjawab kami untuk mendengar, memahami dan memberikan ketaatan kepada keputusan jamaah.
“PAS teguh berprinsip, Istiqamah memimpin penyatuan ummah,” katanya.
PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, susulan pengumuman oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS pada Isnin.
Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan bahawa PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 10/6/2026











