
SEREMBAN: PAS tidak terikat kepada mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya kekal berpegang kepada prinsip perjuangan Islam yang menjadi asas dalam menentukan setiap pendirian dan hala tuju politik parti.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil menegaskan, atas prinsip itulah PAS memutuskan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU dan meneroka bentuk persefahaman politik baharu.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan syarak, perkembangan semasa serta panduan Majlis Syura Ulama yang sentiasa meletakkan Islam sebagai neraca tertinggi dalam menentukan hala tuju perjuangan parti.
“Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS tidak terikat kepada mana-mana individu atau parti, sebaliknya terikat kepada prinsip perjuangan Islam yang menjadi asas penubuhannya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, setiap langkah politik yang diambil perlu bertujuan memelihara kesatuan ummah, memperkukuhkan kekuatan Islam serta mengelakkan perpecahan boleh merugikan umat.
Katanya, prinsip tersebut selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 yang menyeru umat Islam supaya berpegang teguh kepada agama Allah dan tidak berpecah-belah.
Mengulas lanjut beliau berkata, sejarah perjuangan Islam membuktikan strategi dan bentuk kerjasama politik boleh berubah mengikut keperluan semasa tanpa mengorbankan prinsip dasar perjuangan.
“Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah membuktikan bahawa strategi dan bentuk kerjasama boleh berubah mengikut keperluan semasa, namun prinsip perjuangan tidak pernah dikorbankan.
“Apa yang menjadi keutamaan ialah kemenangan Islam dan kemaslahatan umat, bukan kepentingan kelompok tertentu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha PAS Pusat meneroka persefahaman politik yang lebih luas sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurutnya, langkah tersebut mencerminkan keterbukaan PAS dalam menghimpunkan kekuatan umat Islam serta seluruh rakyat yang mahukan kepimpinan berintegriti, stabil dan berteraskan nilai murni.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS, khususnya golongan muda, agar terus teguh bersama saf perjuangan, memperkukuhkan ukhuwah, mematuhi keputusan jamaah serta meningkatkan gerak kerja bagi menghadapi cabaran politik akan datang.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan yakin keputusan yang dibuat melalui proses syura dan panduan syariat ini merupakan langkah terbaik untuk memperkukuhkan perjuangan Islam serta memastikan PAS terus menjadi wadah penyatuan ummah dan harapan rakyat,” tegasnya.
Terdahulu, HarakahDaily melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta seperti diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti berkenaan.
“Dalam masa sama, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2026











