
KUANTAN: Dewan Ulamak PAS perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membawa kefahaman bahawa Islam merupakan penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andansura Rabu berkata, Dewan Ulamak merupakan teras yang memandu perjuangan parti serta memastikan seluruh gerak kerja sentiasa berada di landasan Islam.
Katanya, kewujudan Dewan Ulamak juga menjadi antara faktor yang membezakan PAS dengan parti-parti politik lain kerana asas penubuhan dan perjuangan PAS bermula daripada gerakan para ulama.
“Dewan Ulamaklah yang memandu, memberi motivasi dan menunjukkan jalan kepada ahli serta masyarakat agar perjuangan ini sentiasa mencari keredaan Allah SWT,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Kawasan Indera Mahkota Kali Ke-5 di Sungai Karang, kelmarin. (Foto atas)
Tambah beliau, golongan ulama perlu berperanan menyatukan ahli yang datang daripada pelbagai latar belakang dan pemikiran supaya dapat bergerak dalam satu saf perjuangan yang sama.
Menurutnya, cabaran dan ujian yang dihadapi dalam perjuangan tidak boleh dijadikan alasan untuk berundur atau meninggalkan jamaah, sebaliknya perlu dihadapi dengan semangat istiqamah dan kesabaran.
Beliau berkata, Dewan Ulamak juga perlu turun ke tengah masyarakat sebagai pembimbing umat serta memberi kefahaman bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya membawa agenda Islam yang menyeluruh.
“Presiden PAS telah menegaskan bahawa Islam adalah penyelesaian. Sebab itu masyarakat perlu diberi kefahaman bahawa pelbagai cabaran berkaitan ekonomi, pendidikan, budaya dan pemikiran mempunyai penyelesaian yang berpandukan Islam,” ujarnya yang juga ADUN Beserah.
Justeru, beliau berharap Dewan Ulamak PAS kawasan terus memperkukuhkan usaha dakwah, melahirkan pelapis muda dan menjadi pemacu kepada masyarakat dalam membawa agenda Islam sebagai penyelesaian kepada masalah umat. – HARAKAHDAILY 9/6/2026











