Kekal EXCO BERSATU: Bukti nilai setia kawan PAS

- Advertisement -

KEPUTUSAN mengekalkan dua Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah dari BERSATU, membuktikan pentadbiran PAS Kedah tidak tamak kuasa malah mengangkat semangat setia kawan walaupun keputusan kerjasama dengan parti itu telah dihentikan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada kenyataannya mengesahkan dua EXCO terbabit iaitu Dato’ Halimaton Shaadiah Saad dan Dato’ Mohd Salleh Saidin, terus menerajui portfolio masing-masing dan menjalankan tugas seperti biasa.

PAS mempunyai kedudukan yang stabil di Kedah kerana memenangi 21 kerusi daripada 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu, sementara BERSATU memenangi 11 kerusi, GERAKA (1) dan selebihnya diwakili Pakatan Harapan (PH).

Justeru menghentikan hubungan politik bersama BERSATU tidak akan memberi kesan kepada Kerajaan Negeri di mana PAS masih boleh menerajui Kedah dengan majoriti selesa.

PAS juga mampu melantik dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) untuk menggantikan dua EXCO BERSATU tersebut, tetapi tidak bertindak sedemikian.

Atas komitmen, kesungguhan serta sokongan dua EXCO BERSATU itu terhadap Kerajaan Negeri, perkhidmatan mereka diteruskan seperti biasa sehinggalah sekiranya ada sebarang keputusan baharu dibuat.

Menarik juga, pendirian itu dijangka tidak menjejaskan kedudukan ahli BERSATU yang dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah, Pengerusi atau Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK), mahupun pegawai lantikan politik lain.

Terdahulu, PAS khususnya Menteri Besar sendiri, mempertahankan kedudukan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani sebagai EXCO dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah walaupun kedua-duanya dipecat sebagai ahli BERSATU.

Malah ketika kedua nama tersebut diminta oleh Presiden BERSATU agar digugurkan dari jawatan tersebut dan digantikan dengan dua ADUN BERSATU yang lain, Sanusi tetap dengan keputusan mengekalkan kedudukan sedia ada.

Kerajaan Negeri Kedah terus menjalankan pentadbiran dengan baik hasil kerjasama serta komitmen Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sama ada dari PAS, BERSATU mahupun GERAKAN.

Malah kesemua ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) di Kedah menunjukkan sokongan yang padu terhadap Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Sanusi.

Sungguhpun mungkin landskap politik PN akan berlaku perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 nanti, namun tidak bermakna Kedah kehilangan semua ADUN-ADUN BERSATU yang mempunyai hubungan baik dengan PAS ketika ini.

Walaupun terlalu awal untuk membuat kesimpulan, namun tidak mustahil kemungkinan akan berlaku perkara di luar jangka yang diharapkan memberi bonus kemenangan kepada koalisi disertai PAS.

Terdahulu, PAS secara rasmi menamatkan kerjasama politik bersama BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selepas meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS-BERSATU berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -