
PANTAS masa bergulir, pejam celik dalam kesibukan detakan jarum jam rupa-rupanya sudah genap setahun tragedi kemalangan bas Gerik pada 9 Jun 2025.
Anak-anak muda cerdas dengan guratan wajah yang jernih itu berpapasan dengan keluarga masing-masing di Dataran Lapang Masjid Hadhari di Jerteh dengan tawa senda mengiringi perpisahan itu dalam euforia gembira.
Suasana gembira bagi anak-anak kampus pendidikan itu juga dengan latar hari raya Korban yang memang disambut meriah di daerah agrarian ini yang berjiran dengan Kelantan. Secara puratanya mereka berusia di awal 20-an,membuncah dan menggebu semangat untuk meraih sebaik mungkin prestasi akademik.
Meninggalkan seketika keluarga tersayang di desa, tidaklah sesayu generasi cendekia Besut dekad tahun 1950-an dan 1960-an. Saat itu guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Tanjung Malim yang berasal dari daerah ini akan ke Kelantan terlebih dahulu untuk menaiki keretapi. Mereka harapan keluarga dan masyarakat.
Daerah Besut dasawarsa 1960-an dan 1970-an mengangkat golongan pendidik sebagai pemimpin masyarakat, bahkan melantik mereka menjadi anggota legislatif daerah ini. Kelompok guru inilah yang membangunkan masyarakat, menjadi ejen reformasi sosial, menyental keluar anak-anak miskin daripada lingkaran ganas kemiskinan.
Yang paling penting mereka menjadi harapan agama untuk mengubah kejahilan masyarakat yang masih pekat bersalut dengan amalan animisme seperti main puteri, jamu acok, bertetak serta serba maknika permainan tradisional berunsur judi dan khurafat.
Mahasiswa dan mahasiswi kampus pendidikan UPSI ini juga membawa harapan yang sama kepada keluarga dan masyarakat setempat. Besut tersohor di negeri Terengganu melahirkan ilmuan dan kelompok Intelegensia kelas menengah atas negara ini, keropok dan budu yang turut membekalkan protein kepada anak-anak Besut.
Lebih 40 orang berada di dalam bas yang mereka sewa untuk memudahkan mereka balik ke Besut dan pulang semula ke daerah pemukiman ilmu di Tanjung Malim. Tradisi menyewa bas untuk pulang ke kampung ini telah popular sejak dekad 1980-an lagi bagi anak-anak Besut yang belajar jauh di luar daerah.
Jangan kata belajar di Kuala Lumpur atau kota-kota lain, dekad 1980-an, pelajar yang mahu pulang ke Besut dari Kuala Terengganu pun sudah biasa menyewa bas untuk balik di waktu perayaan. Matlamatnya baik, memudahkan pergerakan terutamanya pelajar perempuan, terasa lebih selamat kerana mengenali di antara satu sama lain.
Biasanya persatuan menganjurkan program pulang ke kampung ini dan ianya dapat melatih kepimpinan anak muda untuk berorganisasi serta mengeratkan ukhuwwah sesama ahli persatuan pelajar.
Tragedi kemalangan jalan raya mahasiswa UPSI menyeruak terlalu banyak tabir hitam putih kepada tanah watan ini; ianya bukan sekadar kematian pahlawan muda bangsa namun menghidupkan hati yang kontang.
Seramai 42 orang pelajar berada di dalam bas, sebelum itu mereka berlepas di hadapan Masjid Hadhari bandar Jerteh. Tiada siapa menyangka itu adalah perpisahan terakhir mereka; ada ibu bapa membekalkan makanan untuk anak-anak tercinta. Bukan sekadar bingkisan nasihat untuk anak-anak muda ini menjaga keselamatan mereka di perantauan malah juga bekalan ketupat, lemang dan daging serunding istimewa Besut.
Euforia ceria menutup kisah lambaian terakhir ibu bapa dan keluarga pelajar-pelajar UPSI. Bandar Jerteh adalah saksi bisu puluhan ribu mahasiswa sejak dekad 1970-an berpapasan dengan keluarga sebelum menaiki bas balik ke pusat pengajian tinggi masing-masing.
Bas berdesut membelah kegelapan malam dengan keadaan jalan yang sibuk meredah bumi Kelantan yang memang Eidul Adha disambut meriah saban tahun. Bertali arus kenderaan melalui Jalan Raya Timur Barat yang naif penyelenggaraannya, khabarnya mendapat peruntukan untuk penambaikan mutu jalan sejak 2023 namun tanda awasan yang lemah, banyak kawasan tiada garisan tengah, gulita tanpa pencahayaan dan pelbagai kelemahan.
Janganlah mahu membandingkan dengan mutu jalan raya di negara-negara Eropah, malah dengan Thailand negara jiran kita pun tertinggal jauh di belakang!
Jam 1.30 pagi, pahatan takdir tercatat apabila kemalangan ngeri dalam arah menuruni bukit sebelum Tasik Banding. Suara kesakitan dan erangan dalam kegelapan malam itu akan terus menghantui anak-anak muda yang Allah panjangkan umur.
Penulis tersedar jam lima pagi membaca kegemparan dalam pelbagai grup Whatsapp aroma kesedihan tidak terbayang pada ibu bapa anak-anak muda yang cerdas ini. Relawan-relawan Besut yang diketuai oleh Gaung Amal pada jam 10.00 pagi bergerak ke Hospital Daerah Gerik dengan dibantu iringan polis Daerah Besut ke daerah paling hujung di Perak itu untuk mengambil jenazah-jenazah balik ke Jerteh.
Ada juga kenderaan jenazah ke Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh untuk mengambil jenazah untuk pulang ke Besut, segalanya berjalan lancar dengan bantuan pihak keselamatan.
Rakyat Besut sejak jam 8.00 malam telah mulai berhimpun di persekitaran Masjid Hadhari, segalanya bermuara dengan semangat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada putera puteri bangsa yang terkorban. Anggota Jabatan Amal Besut mengawal selia dengan baik laluan trafik serta perjalanan program.
Pimpinan negeri turut hadir bersama rakyat tempatan, menunggu konvoi van jenazah tiba pada jam 2.50 pagi. Dingin pagi yang mengharukan dengan dianggarkan lebih daripada tiga ribu menyolatkan jenazah dipimpin oleh Exco Kerajaan Terengganu, Dr Khalil Abdul Hadi. Solat jenazah kali pertama telah diadakan di bilik pengurusan jenazah Hospital Gerik, dipimpin oleh Dato’ Ustaz Idris Haji Ahmad, mantan Menteri Agama.
Acara persemadian anak-anak muda ini juga mengheret emosi, air mata yang mengalir bukan tidak meredai takdir namun itulah sketsa fitrah sebuah kehilangan. Bukan sahaja ditangisi oleh keluarga, namun oleh jutaan rakyat negara ini.
Di kalangan anak-anak muda ini juga ada penghafaz 30 juzuk Al Quran seperti Mohd Adib Hazim, dikenali sebagai anak muda yang taat beragama oleh masyarakat dan kawan-kawan sekampus.
Juga paling viral di kalangan yang terkorban ialah Nurly Shahirah Azman, yang bukan sekadar menghafaz Al-Quran namun jasadnya yang memeluk erat Al Quran semasa kemalangan. Shahirah menulis Al Quran (tahriri) dan obses dengan apa sahaja yang berkaitan dengan Kalam Allah itu.
Tragedi Gerik memahat luka sejarah, dengan seribu ingatan kepada kita semua bahawa kematian tidak mengenal usia. Ceria dengan sedetik suis takdir berubah menjadi linangan airmata. Juga lihat juga layanan politik sang penguasa, sepatutnya cukai yang dikutip diagih-agihkan dengan adil untuk kemudahan rakyat.
Jalan Raya Timur Barat yang meratah nyawa untuk disiapkan di zaman ancaman komunis rupa-rupanya terus meratah nyawa rakyat, seperti denai babi dengan seribu satu perangkap.
Kepada sang penguasa dungu, lihatlah derita ini, jangan tunggu familimu menggeletak nyawa di aspal cap ayam ini barulah terdetik untuk membaiki jalan raya ini. Sejujurnya, jurang pembangunan wilayah kita yang sangat tempang; Pulau Pinang dengan RM17.3 billion untuk prasarana namun akses ke Kelantan dan Terengganu disepikan.
Lihatlah kepada isu LPT3, yang bertangguh sekian lama, juga adakah pembaikan Lebuh raya Timur Barat selesai dengan baik selepas setahun tragedi ini? Rakyat jembel di Kelantan dan Terengganu hanya mohon bertanya.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/6/2026











