
KUALA LUMPUR: Ahli dan penyokong PAS diingatkan agar meletakkan ilmu serta kefahaman agama sebagai asas utama dalam mendokong perjuangan parti, bukannya bersandar kepada emosi, semangat bermusim atau ketaksuban terhadap individu tertentu.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, kekuatan sesebuah gerakan Islam hanya akan mampan sekiranya setiap pendukungnya memahami dasar perjuangan secara jelas.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan, sikap amilin seperti itu sekali gus mampu mengekalkan momentum istiqamah ketika berdepan dengan ujian dan tekanan politik.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menegaskan bahawa pembinaan sahsiah perjuangan bertumpukan kaedah keilmuan amat selari dengan intipati wahyu pertama diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
“Allah SWT memulakan penurunan wahyu dengan firman-Nya, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah Al-’Alaq: 1)
“Ayat pertama yang diturunkan bukan memerintahkan umat Islam berperang, berhimpun atau berpolitik, tetapi memerintahkan mereka membaca, memahami, mengkaji dan menuntut ilmu.
“Ini menunjukkan bahawa perubahan manusia dan pembinaan tamadun mesti bermula dengan ilmu dan kefahaman,” katanya dalam satu ulasan tarbiyah, semalam.
Penekanan terhadap tarbiyah, usrah dan pengukuhan dalaman amat penting PAS pasca keputusan drastik menghentikan kerjasama politik BERSATU, 8 Jun kelmarin, kerana rungkaian blok muafakat lazimnya menguji kesetiaan serta kefahaman ahli di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, usaha memantapkan pegangan ahli sentiasa diperkemaskan supaya kekal berdisiplin di bawah struktur kepimpinan sedia ada, selain mengelakkan kekeliruan atau perpecahan ekoran tindakan segelintir individu.
Perjuangan berasas ‘basirah’ elak kecewa
Mengulas lanjut, Idris menyatakan bahawa ukuran kebaikan dan sumbangan seseorang dalam sesebuah gerakan dinilai menerusi kedalaman kefahamannya terhadap agama, berpandukan kepada Surah Yusuf, ayat 108 dan hadis riwayat Sahih al-Bukhari serta Sahih Muslim.
Beliau menarik perhatian mengenai kaedah dakwah Rasulullah SAW yang membina akidah para Sahabat RA di Makkah selama 13 tahun, sehingga melahirkan tokoh-tokoh kental seperti Saidina Bilal RA dan keluarga Yasir yang teguh mempertahankan iman.
“Perkataan ‘basirah‘ menunjukkan bahawa dakwah dan perjuangan mestilah berasaskan kefahaman yang jelas, bukan semata-mata emosi dan semangat. Dalam PAS, seseorang mesti memahami dasar perjuangan Islam yang menjadi asas parti.
“Jangan masuk PAS kerana kagum kepada individu tertentu. Jangan juga kerana marah kepada musuh politik. Jika asasnya individu, maka apabila melihat kelemahan pemimpin, dia akan kecewa dan meninggalkan perjuangan.
“Sedangkan pemimpin adalah manusia biasa yang tidak maksum. Mereka boleh melakukan kesilapan dan mempunyai kekurangan. Namun perjuangan Islam tidak bergantung kepada seseorang individu,” jelas beliau.
Idris menjelaskan, pendekatan bersistem seperti institusi usrah, kuliah, tamrin dan tarbiyah diamalkan dalam PAS adalah bertujuan melahirkan ahli matang yang mana kesetiaan mereka adalah kepada prinsip Islam, bukannya personaliti pemimpin.
Beliau turut menyentuh impak terhadap mana-mana bekas pimpinan parti yang memilih untuk meninggalkan landasan jemaah setelah tidak lagi sehaluan.
“Sebab itu Imam Hassan al-Banna meletakkan Al-Fahm sebagai rukun pertama dalam Rukun Baiah. Selepas faham barulah ikhlas. Apabila seseorang memahami tujuan perjuangan, dia akan beramal dengan ikhlas kerana Allah SWT. Dia tidak mengharapkan pujian manusia atau kedudukan.
“Apabila ada pemimpin yang meninggalkan jamaah, mereka tidak ikut kerana mereka memahami bahawa mereka berjuang untuk Islam, bukan untuk individu. Akhirnya pemimpin yang meninggal perjuangan hidup segan mati tidak mahu.
“Semangat tanpa faham ibarat api jerami; menyala besar tetapi cepat padam. Sebaliknya faham akan melahirkan keyakinan. Keyakinan melahirkan keikhlasan. Keikhlasan melahirkan pengorbanan. Dan pengorbanan yang berasaskan iman akan melahirkan istiqamah hingga ke akhir hayat,” tegasnya.
Ustaz Idris turut memetik Surah Ali ‘Imran ayat 200 dan berdoa agar seluruh saf kepimpinan serta ahli dikurniakan ketetapan hati untuk menempuhi segala cabaran politik mendatang demi keredaan Ilahi. – HARAKAHDAILY 10/6/2026














