
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap ketetapan yang diputuskan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhubung hala tuju kerjasama politik antara PAS dan BERSATU.
Ketuanya, Muhamad Hamdi Harun berkata, keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti itu diterima sebagai satu ketetapan yang berpandukan pertimbangan syarak, maslahah semasa serta penelitian mendalam oleh Majlis Syura Ulamak.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat demi menjaga kepentingan Islam, umat dan negara.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menegaskan bahawa perjuangan PAS tidak bergantung kepada mana-mana individu atau parti tertentu, sebaliknya berpaksikan kepada dasar Islam yang menjadi teras perjuangan sejak penubuhannya.
“Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh parti adalah berasaskan prinsip dan kepentingan perjuangan yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Muhamad Hamdi menegaskan bahawa seluruh saf Pemuda PAS Terengganu akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti serta memperkukuhkan kesatuan dan disiplin organisasi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Pada lewat malam tadi, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.
Beliau memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
“PAS kini akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah,” jelas beliau.
Beliau berkata, pihaknya turut menyambut baik usaha PAS untuk meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu bagi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan rakyat negara ini.
“Perkembangan semasa itu, ujar beliau, juga dilihat sebagai peluang untuk memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Fokus utama kini adalah memperkasakan jentera, mendekati rakyat serta menjelaskan dasar dan tawaran PAS sebagai penyelesaian kepada pelbagai cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat.
“Kami turut mengalu-alukan hasrat golongan akademik, profesional, pemimpin masyarakat dan anak muda yang berminat untuk bersama PAS dalam membawa agenda pembinaan negara yang berteraskan Islam, integriti, keadilan dan kesejahteraan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2026




















