
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian PAS Pusat menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU demi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti itu.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pendirian tersebut selaras dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengumumkan keputusan berkenaan, semalam.
Menurut beliau, kerjasama antara PAS dan BERSATU sebelum ini dibina atas konsep ta’awun siyasi yang berasaskan prinsip saling membantu dalam perkara kebaikan.
“Seharusnya prinsip ini menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan PAS secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, agenda penyatuan ummah merupakan teras utama politik PAS dan formula yang lebih ampuh bagi mendepani serta meruntuhkan wacana politik Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Katanya, usaha memperjuangkan gagasan itu perlu digerakkan secara konsisten termasuk memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya dengan lebih strategik.
Namun jelasnya, apabila kerjasama politik tersebut tidak lagi menatijahkan penyatuan ummah yang lebih besar, selain berdepan pelbagai halangan tertentu, maka keputusan PAS Pusat untuk menghentikannya adalah tepat pada masanya.
“Dewan Ulamak PAS Pusat ingin menyeru seluruh anggota abnaul harakah agar menerima keputusan PAS Pusat dengan jiwa besar. Insya-Allah apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam.
“PAS tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah insya-Allah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Terdahulu, Tuan Guru Abdul Hadi mengumumkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU selepas menilai semula keberkesanan hubungan tersebut terhadap agenda lebih besar parti, khususnya dalam memperkukuhkan penyatuan ummah.
Beliau menegaskan bahawa PAS akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan Islam serta meneruskan usaha menyatukan umat Islam dan masyarakat majmuk negara ini melalui pendekatan politik yang lebih berkesan dan strategik.
Pengumuman itu menjadi perhatian pelbagai pihak memandangkan PAS dan BERSATU sebelum ini merupakan antara tonggak utama Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa siri pilihan raya serta kerjasama politik di peringkat Persekutuan dan negeri.
Sokongan terbuka Dewan Ulamak PAS terhadap keputusan tersebut dilihat memperlihatkan kesepakatan kepimpinan parti dalam menjayakan agenda penyatuan ummah yang terus menjadi keutamaan PAS. – HARAKAHDAILY 9/6/2026











