Teroka persefahaman politik yang lebih menyeluruh

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor menegaskan bahawa agenda Penyatuan Ummah akan terus menjadi keutamaan parti meskipun PAS Pusat telah memuktamadkan keputusan berhubung hala tuju kerjasama politik dengan BERSATU.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, PAS Selangor menyokong dan menerima sepenuhnya keputusan yang ditetapkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhubung perkara tersebut, semalam.

Menurut beliau, PAS sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan yang meletakkan Islam, maslahah umat dan kepentingan negara sebagai keutamaan mengatasi pertimbangan politik kepartian.

“Justeru, agenda Penyatuan Ummah kekal menjadi teras perjuangan PAS dalam usaha membina kekuatan umat, mengurangkan perpecahan politik dan mewujudkan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS Selangor melihat keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat itu bukan sebagai penamat kepada usaha penyatuan umat, malah membuka ruang lebih luas untuk meneroka bentuk persefahaman dan kerjasama politik lebih menyeluruh.

Katanya, pendekatan tersebut mampu memperkukuhkan agenda Penyatuan Ummah di samping membantu membentuk landskap politik yang lebih matang, stabil dan berorientasikan kepentingan rakyat serta negara.

Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan terhadap segala bentuk kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini serta menyeru seluruh ahli dan penyokong agar terus memperkukuh saf perjuangan parti.

Menurutnya, semua pihak perlu berlapang dada dan kekal istiqamah mendukung usaha penyatuan umat yang menjadi antara agenda terpenting PAS sejak sekian lama.

“PAS akan terus istiqamah dengan agenda Penyatuan Ummah kerana perpaduan adalah kunci kekuatan umat, kestabilan politik dan kesejahteraan negara,” katanya.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS selepas perbincangan mengenai kedudukan dan hala tuju parti dalam mendepani perkembangan politik semasa negara.

Menurut Tuan Guru, keputusan tersebut dibuat setelah PAS mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir yang melibatkan parti sekutunya itu. – HARAKAHDAILY 9/6/2026

- Advertisement -