
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu bakal mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan susulan serta pendirian akan diambil, susulan keputusan PAS Pusat menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat.
“Insya-Allah, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan selanjutnya di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Pada lewat malam tadi, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.
Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Perkembangan terbaharu itu turut mencetuskan perhatian terhadap kedudukan wakil BERSATU dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.
Sementara empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BERSATU terdiri daripada Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut), Mohd Yusop Majid (Permaisuri),Khazan Che Mat (Seberang Takir), Mohd Zawawi Ismail (Telemung).
Bagaimanapun, setakat ini kerajaan negeri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kesan keputusan berkenaan terhadap kedudukan pemimpin BERSATU dalam pentadbiran negeri. – HARAKAHDAILY 9/6/2026




















