
KUNAK: “Jaga hubungan dengan Allah menjadi rahsia kejayaan saya,” kata Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Peringkat Kebangsaan 2025, Ahmad Mursyied Umair Darwis.
Menurutnya, antara rahsia lain ialah taat kepada ibu bapa, menghormati guru dan mengamalkan disiplin dalam pembelajaran serta bijak mengurus masa.
Katanya, kejayaan yang diraih hari ini adalah hasil pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan serta mendoakan kejayaannya sejak di bangku sekolah.
Beliau yang merupakan anak kedua daripada lapan orang adik-beradik memberitahu, ayahnya berniaga pizza dan mengajar mengaji sebagai sumber pendapatan keluarga.
“Setiap kejayaan yang saya kecapi hari ini adalah untuk ibu bapa dan keluarga yang sentiasa berada di belakang saya.
“Pengorbanan mereka menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha sehingga berjaya,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah khas sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah ke-36, kelmarin.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan pada majlis perasmian muktamar tersebut. Ibu bapa Ahmad Mursyied Umair turut hadir. (Foto atas)
Mursyied turut menegaskan bahawa kecemerlangan bukan diperoleh dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan kesungguhan, kesabaran dan komitmen yang berterusan.
“Tiada jalan pintas untuk berjaya. Apa yang penting ialah sentiasa berusaha, tidak mudah berputus asa dan percaya kepada kemampuan diri sendiri,” katanya yang juga telah menamatkan hafalan 30 juzuk Al- Quran semasa mengambil SPM di Sekolah Menengah Agama Negeri Kunak serta STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Mursyied turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya mengurangkan hiburan dan berpegang dengan al-Quran.
Beliau merupakan Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial dengan keputusan cemerlang termasuk keputusan 5A/PNGK 4.00 dalam peringkat terdahulu dan pengiktirafan rasmi oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.
Kejayaan membanggakan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah turut membuktikan bahawa latar belakang kehidupan bukan penghalang untuk seseorang mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik.
Sementara itu, muktamar yang berlangsung di Dewan Arena Belia, di sini, turut memberikan tujuh lagi anugerah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ahli dalam pelbagai kategori.
Anugerah Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) terbaik diberikan kepada DMPK Sepanggar manakala Jabatan Pilihan Raya Muslimat PAS Negeri Sabah menerima Anugerah Biro atau Jabatan Proaktif.
Selain itu, Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada Faizah Antong (DMPK Kota Belud) manakala Anugerah Istiqamah pula Norjannah JamJam (DMPK Kalabakan), Anugerah Muslimat Muda (Nany Semin – DMPK Tawau), Anugerah Akifi (Norazian Sapiai – DMPK Keningau) dan Anugerah Dedikasi (Nurul Hazimah Lanus – DMPK Kalabakan). – HARAKAHDAILY 3/8/2026










