Hilang sifat malu punca perlakuan tak sopan dalam tren

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu tular membabitkan perlakuan tidak sopan sekumpulan individu di dalam tren MRT laluan Putrajaya baru-baru ini menimbulkan kebimbangan terhadap kemerosotan adab dan akhlak dalam kalangan generasi muda.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Wan Ahmad Soleh berkata, gejala berkenaan berpunca daripada semakin terhakisnya sifat malu yang merupakan sebahagian daripada keimanan seorang Muslim.

Menurut beliau, Islam meletakkan sifat malu pada kedudukan yang tinggi kerana ia menjadi benteng menghalang seseorang daripada melakukan perkara dilarang Allah SWT.

“Apabila sifat malu semakin pudar, seseorang akan lebih mudah terjebak dalam perbuatan yang bercanggah dengan tuntutan agama dan nilai moral,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sifat al-haya’ lahir daripada kesedaran muraqabah, iaitu keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa melihat, mendengar dan mengawasi setiap perbuatan manusia.

“Apabila seseorang benar-benar menghayati bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikannya, akan lahir rasa segan dan malu untuk melakukan maksiat atau melanggar perintah-Nya.

“Kesedaran ini juga mendorong seseorang untuk sentiasa menjaga tingkah laku serta berusaha kekal berada di atas jalan yang diredai Allah SWT,” ujarnya.

Menurut Wan Ahmad, kehilangan sifat malu bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh mengundang kerosakan yang lebih besar kepada masyarakat.

Beliau berkata, antara petanda yang semakin ketara ialah pengabaian batas pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagaimana ditetapkan syariat Islam.

“Tidak sedikit remaja yang berinteraksi secara berlebihan, bergurau tanpa batas serta melakukan perkara yang bercanggah dengan adab pergaulan Islam.

“Keadaan ini mencerminkan semakin lemahnya benteng agama dalam diri dan lunturnya nilai kesopanan yang sekian lama menjadi identiti masyarakat Islam,” katanya.

Tambah beliau, fenomena yang lebih membimbangkan ialah apabila terdapat segelintir remaja tidak lagi berasa bersalah melakukan maksiat secara terbuka sama ada di tempat awam mahupun di media sosial.

Menurutnya, ada yang sanggup memuat naik kandungan tidak bermoral, mempamerkan gaya hidup merosakkan diri serta berkongsi aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang demi meraih perhatian dan populariti.

“Perkembangan ini menunjukkan berlakunya perubahan nilai dalam masyarakat apabila sesuatu yang jelas memudaratkan akal, akhlak dan masa depan dianggap sebagai perkara biasa.

“Lebih malang, ada yang berbangga dengan perbuatan tersebut tanpa memikirkan kesan terhadap diri, keluarga dan masyarakat,” jelasnya mengingatkan sabda Rasulullah SAW, ‘Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan’.

Wan Ahmad berkata, setiap perlakuan yang bercanggah dengan ajaran Islam bukan sahaja menjejaskan maruah individu, malah boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat khususnya ibu bapa, pendidik dan pemimpin masyarakat supaya memainkan peranan dalam memupuk semula sifat malu dalam kalangan generasi muda.

Katanya, usaha berterusan perlu digerakkan bagi memastikan nilai akhlak yang menjadi asas kekuatan umat Islam terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Sifat malu yang diletakkan pada tempatnya merupakan perisai yang menjaga kehormatan diri, membentuk akhlak mulia dan mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah SWT.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menghidupkan kembali sifat malu yang semakin pudar agar ia terus menjadi benteng yang memelihara kesucian agama serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Baru-baru ini, satu kejadian membabitkan sekumpulan individu dipercayai remaja di dalam tren MRT laluan Putrajaya mendapat perhatian ramai.

Ia selepas rakaman video memaparkan perlakuan tidak senonoh serta tindakan mengganggu ketenteraman penumpang tersebar di media sosial sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 9/6/2026

- Advertisement -