‘Ini bukan rasis, ini soal negara’ – Bibi Sunita

Bibi Sunita Sakandar Khan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (NEGARAWATI), Bibi Sunita Sakandar Khan menegaskan, apa yang beliau bangkitkan bukan isu perkauman, bukan isu kebencian terhadap mana-mana kaum, dan bukan juga isu sentimen politik sempit; tetapi ia berkait persoalan prinsip, dasar, dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, yang telah menghasilkan video respons terhadap kenyataannya berkaitan isu Perlembagaan DAP dan hubungannya dengan semangat serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengalu-alukan perbahasan terbuka dalam sebuah negara demokrasi. Selama ini, setiap kali DAP dikritik berkaitan agenda perjuangan politiknya, pihak tertentu akan segera melabelkan pengkritik sebagai ‘rasis’. 

“Namun persoalannya mudah, adakah  mempertahankan Perlembagaan Persekutuan itu rasis?  Adakah mempertahankan Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera itu rasis? Adakah mempertahankan kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara ini juga dianggap rasis?” soalnya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Beliau menyatakan, jika jawapannya kesemua persoalan itu ialah tidak, maka hentikan budaya melabel sesiapa sahaja yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai ekstrem atau perkauman.

Menurutnya, rakyat perlu tahu bahawa pada 13 November 2025, lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Gabungan NGO Islam (NGI) telah menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah Jabaran Pendaftaran Pertubuhan (RoS)  bagi membangkitkan persoalan berhubung kandungan tertentu dalam Perlembagaan, serta dokumen perjuangan DAP yang dilihat bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Malangnya sehingga hari ini, tiada penjelasan yang jelas dan memuaskan diberikan kepada rakyat.

“Lebih menarik, isu ini bukanlah isu baharu.Sebelum ini, pemimpin Umno Bahagian Pontian juga pernah membangkitkan persoalan yang sama. 

“Namun Presiden Parti Umno menyatakan itu hanyalah pendirian peribadi beliau dan hubungan Umno masih baik dengan DAP selaku Komponen Parti Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim  juga memberikan kenyataan yang sama,” jelasnya.. 

Tambah beliau, Presiden DAP sendiri, Anthony Loke, menegaskan bahawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ akan terus dipertahankan dan tidak ada sebab untuk menggugurkan slogan tersebut.*

“Maka persoalan yang saya bangkitkan hari ini adalah persoalan yang telah diperdebatkan sebelum ini dan bertahun-tahun isu dan perkara yang sama turut dibangkitkan, bukannya sesuatu yang muncul semalam. 

“Namun nampaknya DAP punyai kekebalan hingga terlepas tanpa tindakan walaupun jelas Perlembagaan Partinya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Apa yang lebih mengejutkan, ujar beliau lagi,  ialah apabila pihak yang cuba mempertahankan DAP menunjukkan tangkap layar laman web rasmi DAP sebagai bukti bahawa parti tersebut menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Baik. Kalau begitu marilah kita lihat laman web yang sama. Dalam laman rasmi DAP tersebut masih terdapat rujukan kepada Deklarasi Setapak 1967.

“Deklarasi itu dengan jelas menekankan konsep kesamarataan etnik sebagai prinsip utama pembinaan negara dan menentang pengasingan rakyat kepada kategori Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Di sinilah timbul percanggahan yang perlu dijawab oleh DAP,” jelas beliau.

Bibi Sunita selanjutnya mempersoalkan, bagaimana sebuah parti boleh mendakwa menghormati Perlembagaan Persekutuan tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan dokumen perjuangan yang secara asasnya mempertikaikan prinsip yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan?

“Inilah persoalan yang gagal dijawab sehingga hari ini,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu beliau berkata, NEGARAWATI ingin menegaskan bahawa perjuangan kami bukan menentang orang Cina. Bukan menentang orang India. Bukan menentang mana-mana kaum.

Menurutnya, dalam DAP sendiri terdapat ahli dan pemimpin daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Bumiputera.

“Isunya bukan kaum. Isunya adalah ideologi politik. Isunya adalah sama ada sesebuah parti politik benar-benar menerima dan menghormati struktur asas Perlembagaan Persekutuan ataupun sekadar menggunakan ungkapan tersebut sebagai slogan politik.

“Atas sebab itulah saya menyokong pendirian Menteri Besar Johor yang menolak kerjasama dengan DAP,” hujahnya.

Beliau menegaskan juga, apabila pemimpin DAP menuduh sebagai rasis, beliau melihat tuduhan tersebut sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar yang sedang dibangkitkan.

“Yang menjadi pertikaian bukan warna kulit.Yang menjadi pertikaian bukan keturunan.Yang menjadi pertikaian ialah kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa, jika DAP benar-benar menghormati kedudukan istimewa Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan keseluruhan struktur asas Perlembagaan Persekutuan, maka buktikan kepada rakyat.

“Jangan sekadar mengulang slogan. Jangan sekadar membuat video. Jangan sekadar menuduh orang lain rasis.

“Sebaliknya, nyatakan secara terbuka pendirian DAP terhadap Deklarasi Setapak 1967,” tegas beliau lagi.

Bibi Sunita juga berhujah bahawa, jika terdapat mana-mana prinsip dalam deklarasi tersebut yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, maka gugurkanlah prinsip tersebut. 

“Gugurkan segala bentuk percanggahan yang terkandung dalam Perlembagaan Parti DAP kamu seperti inginkan negara sekular, kesamarataan, malaysian malaysia dan apa jua yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Beliau justeru menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan yang jelas. 

“Pemimpin-pemimpin Parti Melayu blok Kerajaan dalam gabungan Kerajaan  Perpaduan jangan menghalalkan segalanya hanya kerana ingin kekal di kerusi empuk jawatan, ganjaran, habuan, kedudukan yang kamu terima kali ini kerana rakyat kini sedar, faham, tahu dan yakin, bahawa kewajipan dan tanggungjawap kita selaku rakyat adalah menolakmana-mana pemimpin dari Parti DAP atau parti-parti yang bersekongkol dengan parti DAP yang nampak jelas rasis terhadap Perlembagaan Persekutuan yang kami dukung dan junjung,” tegas Bibi Sunita.

Sehubungan itu, beliau berikrar, NEGARAWATI akan terus berdiri teguh mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan negara, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta hak-hak yang dijamin kepada semua rakyat Malaysia menurut lunas undang-undang negara.

“Sekali lagi kami ingin tegaskan, Ini bukan soal perkauman. Ini soal prinsip. Ini soal maruah negara. Ini soal mempertahankan asas yang telah membentuk Malaysia sejak merdeka.

“Perlembagaan Persekutuan bukan untuk dipilih-pilih. Ia mesti diterima dan dihormati sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -