
KOTA KINABALU: “Saya merayu dengan rendah hati kepada semua, marilah kita turun mengundi dengan penuh tanggungjawab.
“Setiap undi anda menentukan arah masa depan Karambunai,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Menurutnya, impian semua adalah untuk melihat lebih selesa dan lebih maju,
“Impian kita untuk melihat Karambunai lebih selesa, lebih maju, lebih berkebajikan. Semua itu bermula dengan langkah anda ke pusat mengundi.
“Saya mohon sokongan anda untuk undi saya, Datuk Dr. Aliakbar, Calon Perikatan Nasional N16 Karambunai, calon No. 7.
“Insya-Allah, amanah ini saya pikul dengan kerja, bukan janji kosong,” katanya lagi.
Beliau berharap semoga proses pengundian hari ini dipermudahkan oleh Allah Taala.
Calon PN bagi DUN Balung, Dr Munzier Mahamud juga mengucapkan selamat mengundi warga DUN berkenaan.
Katanya, sebagai warga Balung, beliau ingin mengajak pengundi semua turun mengundi dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.
“Pilihan di tangan kita dan setiap undi membawa makna untuk masa depan Balung.
“Apa jua harapan dan cita-cita kita untuk Balung yang lebih baik, semuanya bermula dengan langkah kalian dengan hadir ke pusat mengundi dan melaksanakan hak kita sebagai rakyat,” ujarnya lagi.
Dr Munzier turut berharap semoga proses pengundian berjalan lancar dan membawa kebaikan kepada seluruh komuniti Balung.
“Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Engkau susahkan. Sempurnakanlah dengan kebaikan. Ingat ya, calon nombor 10,” ujarnya.
Hari ini, seramai 1,760,417 pengundi biasa akan mengundi untuk memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini.
Menurut Suruhabjaya Pilihan Raya, sebanyak 882 pusat mengundi dibuka bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang.
Pada PRN ini, seramai 596 calon bertanding di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada 25 November lalu, seramai 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan telah mengundi pada pengundian awal. – HARAKAHDAILY 29/11/2025











