
ISU tular rasuah ahli perniagaan yang mendakwa memberi lebih RM600,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman ahli perniagaan Albert Tei di Puchong, Selangor menggunakan waran, dipetik kata peguamnya, Mahajoth Singh dari sumber medsos pada pagi 28 November lalu.
SPRM telah memecah masuk rumah Albert Tei dan menahannya dengan menggari tangan serta menafikan haknya meminta untuk berjumpa dengan peguam. Malah dilihat sekumpulan pegawai SPRM lengkap dengan peralatan taktikal – termasuk jaket kalis peluru dan penutup muka sebelum membawanya dengan kenderaan diawasi pegawai bersenjata seolah-olah mereka menahan seorang pengganas. Malahan peguam itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencerobohan kerana tarikh untuk merekodkan keterangan anak guamnya telahpun ditetapkan pada hari Isnin.
Antara reformasi atau kerakusan kuasa berdasarkan kasus cara penahanan dengan sebuah kenderaan hitam tanpa nombor kenderaan berdasarkan rakaman video pendek kedengaran bertanya berulang kali kepada pegawai berkenaan mengenai beliau dibawa ke mana dan meminta bercakap dengan pegawai yang bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan.
Tindakan itu susulan beliau melaporkan kejadian rasuah membabitkan bekas setiausaha politik PM, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang kemudian melepas jawatan dan membuat laporan polis di Gum Gum yang didakwa ahli perniagaan itu telah memfitnah dan melakukan konspirasi jahat untuk mencemarkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik ketika kempen PRN Sabah ke-17.
Beliau menafikan tuduhan Albert bahawa wujud arahan daripada Perdana Menteri untuk merakam perbualan ahli politik Sabah, dan menyifatkannya sebagai pembohongan dan fitnah terancang.
Sementara SPRM sebelum ini mengesahkan pihaknya akan memanggil Shamsul dan Albert bagi siasatan berkaitan penerimaan wang RM629,000 melibatkan isu lesen perlombongan. Peletakan jawatan Shamsul sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri turut dikaitkan dengan pendedahan surat sokongan projek hospital Muar yang tular.
Polis dan SPRM kini meneruskan siasatan terhadap dakwaan tersebut. Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan telah menerima peletakan jawatan Shamsul dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau. Perdana Menteri juga telah menjanjikan penyiasatan adil dan berkecuali pada ceramahnya dalam kempen pilihan raya.
Rasuah sukar dihapus apabila wujud pihak pemberi dan penerima kerana kedua-dua mendapat habuan lumayan merencana kehidupan mewah. Namun manusia yang bertauhid di jalur kejap kepercayaan dosa pahala akan menolak rasuah kerana pembalasan pada hitungan dosa menerima azab pedih pascakematian kelak.
Oleh itu, atribut integriti dan telus dalam tadbir urus kenegaraan menuntut rekonstruksi kepemimpinan dan kompeten sumber manusia berasaskan kerohanian selaras rukun negara pertama.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 28/11/2025











