
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Tanjung Batu, Ahmad Dullah menegaskan bahawa kuasa sebenar untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri berada sepenuhnya di tangan rakyat.
Beliau menyeru agar rakyat memberi peluang kepada PN pada Pilihan Raya Negeri kali ini untuk membuktikan kemampuan dalam melaksanakan amanah.
Menurut beliau, sekiranya PN gagal menunaikan tanggungjawab dengan baik, rakyat bebas memilih untuk menukar pemimpin pada pilihan raya yang akan datang.
Dalam masa sama, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh jentera yang bekerja keras dari rumah ke rumah demi memastikan kelancaran kempen.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada petugas yang sanggup berdiri di bawah panas terik serta tetap menyiapkan tugasan walaupun mata semakin berat.
Sebagai tawaran kepada rakyat, Ahmad memperkenalkan Program Transformasi Belia Tanjung Batu (TBTB) bagi meningkatkan kemahiran e-Dagang, pembinaan sahsiah, aktiviti riadah serta pengembangan bakat sukan dan akademik.
Selain itu, beliau turut mengumumkan pelancaran tabung khairat bagi melancarkan urusan kebajikan rakyat secara lebih tersusun.
Ahmad menegaskan bahawa PN komited untuk menjadi pentadbiran yang amanah serta sentiasa meletakkan keperluan rakyat sebagai keutamaan. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











