
KETIKA mengulang kaji bab ‘beriman kepada adanya hari kiamat’ untuk perkongsian kitab Mastika Hadis di masjid, terjumpa hadis Nabi SAW mengenai kemunculan Imam Mahdi.
Isu Imam Mahdi memang sering mencetuskan perbahasan hangat, apatah lagi apabila muncul dakwaan palsu mengenai ‘penyelamat’ tertentu.
Ada yang mengaku Imam Mahdi… tapi hidung kemek (Padahal dalam hadis disebut dahinya luas dan hidungnya mancung).
Alhamdulillah, dalam dunia serba canggih ini saya merujuk pdf kitab Ashrat as-Sa‘ah as-Sughra wal-Kubra karya Allahyarham Imam Yusuf al-Qaradawi.
Setahu saya, karya ini disediakan khusus untuk Mausu‘ah (Ensiklopedia) dan belum pernah diterbitkan sebagai sebuah kitab tersendiri.
Imam al-Qaradawi telah memberikan satu tarjih yang sederhana, kritikal dan berpada-pada dalam menilai hadis-hadis berkaitan Mahdi. Pandangan beliau menekankan disiplin ilmu hadis dan prinsip akidah yang sejahtera.
1. Isu Mahdi tidak mencapai darjat akidah yang pasti (yakin qat‘i).
Imam al-Qaradawi menegaskan bahawa isu Mahdi tidak sampai ke tahap yakin qat‘i sehingga wajib dijadikan sebahagian daripada rukun akidah yang mesti dipercayai setiap Muslim:
… أن الأمر لم يصل إلى درجة اليقين القاطع، الذي يكون عقيدة يجب الإيمان بها، وتُضم إلى سلسلة العقائد الإسلامية، التي يجب أن تُغرس في نفوس الأمة وعقولها، بحيث يشب عليها الصغير، ويهرم عليها الكبير.
“Kesimpulan yang lebih kuat menurut penelitian keseluruhan riwayat, pandangan para ulama dan prinsip-prinsip Islam ialah perkara ini tidak mencapai tahap yakin qat‘i yang menjadikannya satu akidah wajib yang mesti ditanam dalam jiwa umat.”
Dengan kata lain, mempercayai kemunculan Mahdi bukan syarat sah akidah dan bukan asas agama.
2. Namun Hadis-hadis memberikan zann rājih mengenai kewujudannya.
Walaupun bukan akidah qat‘i, Imam al-Qaradawi mengakui bahawa majoriti hadis (meskipun ada kelemahan pada sebahagiannya) tetap memberi sangkaan kuat (zann rājih) bahawa akan muncul seorang pemimpin adil dari keturunan Nabi SAW:
تعطي ظنًّا راجحًا بظهور هذا الشخص المنتظر من سلالة النبوّة …
“Hadis-hadis memberi zann rājih mengenai kemunculan tokoh ini daripada keturunan nubuwwah…”
Menurut Imam, kemunculan tokoh tersebut dijangka berlaku ketika umat Islam mengalami kemerosotan, penindasan dan kerosakan moral:
في زمن تكون فيه الأحوال قد ساءت، والنفوس قد زاغت، والمسلمون قد غُلِبوا، والظلم قد عم، والشر قد طم، وتطلعت الأنظار …
3. Mahdi bukan pembawa syariat baru, beliau hanya pemimpin adil dan mujaddid.
Sangat penting bagi Imam al-Qaradawi, Imam Mahdi bukan sosok luar biasa yang membawa agama atau manhaj baharu.
Mahdi hanyalah seorang pemimpin soleh yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah serta membaiki kerosakan umat:
هذا الرجل ليس أكثر من إمام عادل …
“Lelaki ini tidak lebih daripada seorang imam yang adil…”
وليس هناك دعوة خاصة للمهدي، ولا منهج جديد …
“Tidak ada seruan khas atau manhaj baharu baginya…”
بل هو مجرد أمير صالح مصلح مجدّد، يحكم بما أنزل الله …
“Bahkan beliau hanyalah seorang pemimpin soleh, reformis dan mujaddid yang memerintah berdasarkan hukum Allah.”
Dengan kata lain, Imam Mahdi bukan tokoh ajaib tetapi pemimpin manusiawi yang membangunkan kembali keadilan.
4. Masyarakat akan mengenalinya berdasarkan keadilan yang terserlah.
Imam al-Qaradawi menolak idea bahawa al-Mahdi akan ‘mendakwa dirinya’.
Sebaliknya, umat akan mengenali beliau selepas melihat kesan kepimpinannya, sama seperti orang ramai menilai Khalifah Umar bin Abdul Aziz:
وحين يظهر هذا الرجل، ويرى الناس آثاره في الحياة والمجتمع والأمة، وأن الأرض في عهده قد ملئت عدلاً وقسطا، بعد أن كانت ملئت ظلما وجورا، هناك يقولون: هذا هو المهدي المنتظر الذي بشرتنا به الأحاديث من قبل، كما قال الناس عن عمر بن عبد العزيز، بعد خلافته التي أقام بها الحق، ونصر العدل، ونشر الخير: إنه أحد الراشدين المهديين …
5. Penyimpangan: Yahudi, Syiah dan pengaku Mahdi palsu.
Al-Qaradawi turut memberi amaran bahawa keghairahan menunggu ‘penyelamat’ sering melahirkan penyimpangan:
a) Yahudi.
Menunggu ‘Messiah’, lalu mendirikan negara Israel terlebih dahulu.
b) Syiah Imamiyah.
Menunggu Mahdi ghaib, lalu mengembangkan teori Wilayat al-Faqih bagi mengisi kekosongan kepimpinan.
c) Golongan mendakwa Mahdi.
Terdapat banyak individu sepanjang sejarah mendakwa diri sebagai Mahdi untuk kuasa politik dan kuasa spiritual, antaranya Mahdi Sudan.
Imam al-Qaradawi mengingatkan kita dengan ayat Allah SWT:
أَفَمَن يَمْشِى مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِۦٓ أَهْدَىٰٓ أَمَّن يَمْشِى سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ٢٢
“Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?” (Surah al-Mulk ayat 22)
Kesimpulannya, tarjih Imam al-Qaradawi mengenai isu Mahdi boleh diringkaskan:
1. Tidak sampai ke tahap akidah qat‘i iaitu tidak wajib diyakini sebagai rukun Iman.
2. Hadis memberi sangkaan kuat mengenai kemunculannya sebagai pemimpin adil dari keturunan Nabi.
3. Tiada syariat baharu iaitu Mahdi hanyalah pemimpin pembaharu (mujaddid) yang menghidupkan keadilan.
4. Umat mengenali beliau melalui amalannya, bukan pengakuan diri.
5. Waspada terhadap penyimpangan dakwaan al-Mahdi palsu atau manipulasi politik.
Pandangan Allahyarham Imam al-Qaradawi ini membawa keseimbangan iaitu tidak menolak keseluruhan riwayat, namun tidak melampau sehingga menjadikan isu Mahdi sebagai tunggak akidah.
Fokus utama ialah membina kekuatan, keadilan dan istiqamah atas al-Quran dan Sunnah iaitu bukan menunggu penyelamat secara pasif.
Wallahu’alam. Semoga bermanfaat, Insya-Allah.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
28 November 2025 | 7 Jamadilakhir 1447H – HARAKAHDAILY 28/11/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.













