Karambunai: PAS tak akan sia-siakan amanah rakyat

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak akan mensia-siakan amanah yang diberikan oleh rakyat Sabah, malah komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh penduduk negeri itu.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS amat menghargai kepercayaan yang telah dizahirkan pengundi, khususnya di DUN N.16 Karambunai yang menyaksikan kemenangan calon PN daripada PAS, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan penerimaan dan keyakinan majoriti rakyat terhadap kepimpinan PN untuk terus berbakti kepada penduduk kawasan berkenaan tanpa mengira latar belakang, demi masa depan yang lebih baik serta cemerlang.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Sabah yang telah memberikan sokongan kepada calon-calon PN dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 yang berlangsung semalam.

Takiyuddin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya PAS di semua kerusi yang ditandingi, khususnya di bawah pimpinan Pengarah Pilihan Raya PAS PRU DUN Sabah, Tan Sri Annuar Musa yang telah bekerja keras sejak awal kempen hingga selesai proses pilihan raya.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang sama ada daripada kalangan pimpinan, ahli mahupun para penyokong PAS yang membantu dari segi kewangan, tenaga kerja dari negeri-negeri serta kawasan-kawasan, selain sokongan moral sepanjang tempoh PRU tersebut.

Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN17) ini PAS bertanding di enam kerusi mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) dari semua 42 kerusi ditandingi komponen tersebut di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Selain Dr Aliakbar, calon daripada PAS yang bertanding ialah Dr Mohd Afifi Shaiffuddin (N.23 Petagas), Kasman Karate (N.63 Kunak), Dr Munzier Mahamud (N.67 Balung), Ahmad Dullah (N.71 Tanjung Batu) dan Hasan Haris (N.72 Merotai).

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan Datuk Dr Aliakbar Gulasan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Karambunai pada PRN itu dengan majoriti 365 undi dalam persaingan 11 penjuru.

Semua calon PAS yang bertanding kali pertama itu juga memperoleh jumlah undi signifikan iaitu Petagas (1,283 undi), Kunak (898 undi), Balung (2,265 undi), Tanjung Batu (2,426 undi) dan Merotai (1,288 undi). – HARAKAHDAILY 30/11/2025

- Advertisement -