
KOTA KINABALU: “Peranan wanita dalam konteks pilihan raya hari ini bukan lagi sekadar penyokong, sebaliknya bertindak sebagai penapis dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri, maka wanita perlu berani berubah dan memilih kepimpinan yang bersih seperti PERIKATAN NASIONAL (PN),” gesa Darma Yusop.
Guru Besar Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Bandar Sierra, Kota Kinabalu itu berkata, setiap lapangan kerjaya, kehidupan termasuklah dalam politik perlu menekankan kepentingan nilai yang baik.
“Sebagaimana Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang membawa akronim B.A.I.K iaitu Berintegriti, Aman, Ikhlas dan Konsisten, begitu juga nikai dalam diri wanita perlu selari, bukannya cakap A tapi sudut yang lain cakap B, tidak konsisten,” katanya dalam Podcast Kasi Jadi melalui Facebook Datuk Dr Aliakbar Gulasan, kelmarin.
Menurutnya, kepimpinan Sabah ketika ini sering dikaitkan dengan isu integriti dan rasuah, sekali gus menjejaskan imej negeri di mata masyarakat serta mengakibatkan rakyat terus terbeban.
“Maka di sini, saya melihat wanita adalah ejen yang sebenarnya bertanggungjawab bersama-sama membuat satu perubahan yang mana kepimpinan negeri Sabah ini mestilah pemimpin yang bersih, pemimpin yang berintegriti,” ujarnya yang mengundi di DUN Karambunai.

Darma menjelaskan, wanita memainkan peranan besar dalam pendidikan anak-anak, kos sara hidup, rutin harian serta aspek ekonomi keluarga, dan justeru itu mereka perlu bijak memilih kepimpinan yang tidak menyeleweng.
“Pemimpin yang bersih sudah tentu tidak akan membuat penyelewengan, yang mana impak akhirnya kepada masyarakat khususnya wanita itu sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan wanita bukan sahaja ejen perubahan, tetapi juga ejen memandaikan bangsa melalui pendidikan yang mampu membangunkan negeri Sabah ke arah kemajuan yang lebih baik, selain mempengaruhi masyarakat ke arah kebaikan dan bukan menyebarkan maklumat mengelirukan.
Tambahnya, penyertaan wanita dalam politik bukan bertujuan mengejar jawatan atau kedudukan, sebaliknya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Bila masuk dalam bidang politik ini, bukan hanya memikirkan soal jawatan, kedudukan, tapi sebenarnya kita berkhidmat kepada masyarakat ini supaya menjadi lebih baik, itu yang kita mahu,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2025




















