
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Merotai, Hasan Haris menegaskan bahawa sudah tiba masanya rakyat Merotai bangkit menuntut keadilan selepas terlalu lama dipinggirkan dalam arus pembangunan negeri.
Berucap dalam ceramah kelompok semalam di Kuala Merotai, beliau membangkitkan isu-isu setempat yang masih tidak diselesaikan walaupun telah berulang kali dibangkitkan oleh penduduk sejak bertahun-tahun.
“Kalau Merotai sendiri tidak dijaga, siapa lagi? Kita mahu wakil yang tahu rasa susah orang Merotai, jalan rosak, air tak stabil, van jenazah tiada. Sudah cukup kita jadi penonton, sudah cukup kita jadi mangsa janji yang tidak ditepati,” tegas beliau.
Menurutnya, isu van jenazah yang masih tidak disediakan untuk penduduk Kuala Merotai merupakan contoh jelas bagaimana keperluan asas rakyat tidak diambil serius.
“Ini soal maruah keluarga. Bila ada kematian, penduduk terpaksa pinjam van dari kampung lain. Benda begini tidak patut berlaku pada zaman sekarang,” katanya.
Beliau turut menyentuh keadaan jalan kampung yang berlubang dan tidak disenggara, menyebabkan kerosakan kenderaan serta risiko kemalangan kepada penduduk.
“Jalan ini bukan sekadar laluan. Ia nadi ekonomi. Bila jalan rosak, peniaga rugi, orang bekerja lambat, anak sekolah pun susah. Ini benda paling asas, tapi masih tidak dibuat,” ujarnya.
Selain itu, Hasan menarik perhatian kepada masalah tekanan air rendah serta bekalan tidak stabil yang kerap melanda kawasan UDM Semarak dan Tanah Merah.
“Air adalah keperluan hidup. Bila waktu puncak, tekanan rendah sampai orang tidak boleh mandi, tidak boleh basuh baju. Rakyat tidak minta projek besar-besar mereka hanya mahu masalah hidup diselesaikan.”
Beliau menegaskan bahawa PN hadir ke Merotai bukan untuk menjanjikan bulan dan bintang, tetapi untuk mengangkat suara rakyat yang selama ini dipinggirkan.
“Merotai tidak miskin. Merotai hanya tidak dibela. Apa yang kita tuntut hanyalah keadilan supaya Merotai mendapat bahagian pembangunan yang sama seperti kawasan lain,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk supaya keluar mengundi pada 29 November ini bagi memilih wakil rakyat yang benar-benar memahami masalah setempat dan sanggup bekerja dari hari pertama.
“Merotai bukan lagi mahu pemimpin yang pandai bercakap. Merotai mahu pemimpin yang turun, dengar, dan selesaikan. PN sedia ambil tanggungjawab itu,” tambahnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, Hasan berdepan tiga lagi calon di DUN Merotai yang mempunyai 26,179 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 22/11/2025




















