
PUTATAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr Afifi Saif, berkata antara perkara perlu diperjuangkan adalah masalah banjir kilat di beberapa buah kampung dalam DUN Petagas.
“Kalau kita lihatlah waktu hujan dalam sejam ke tiga jam tanpa henti, pasti akan berlaku banjir kilat di Kampung Tebongon, Kampung Ulu, Kampung Sailan dan kadang sampai ke Kampung Teguli,” katanya ketika berkempen dan bertemu pengundi di pekarangan Plaza Royal Putatan, di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary. (Foto atas)
Menurut Dr Afifi, puncanya adalah masalah perparitan dan saliran air yang agak tinggi dibanding paras tanah kampung yang rendah menyebabkan air tidak dapat mengalir ke tempat sepatutnya.
Katanya lagi, masalah tersebut bukan sahaja menjejaskan keselamatan penduduk dan kerosakan harta benda bahkan menghambat kesejahteraan mereka yang bergantung kepada sistem saliran yang sepatutnya lebih berfungsi.
“Saya sering membawa perkara ini kepada pihak berwajib untuk tindakan pembaikan, termasuk penyelarasan semula paras parit dan kerja menaik taraf saliran,” katanya.
Sehubungan, ujarnya jika diberi peluang menjadi wakil rakyat, itulah komitmen yang akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sabah sebagai tindakan segera.
Ini, tambahnya kerana masalah itu telah berlanjutan sekian lama dan berpotensi menjadi lebih buruk sekiranya tiada penyelesaian jangka panjang.
Pada Pilihan Raya Negeri kali ini, Dr Afifi berdepan saingan dengan sembilan lagi calon di DUN Petagas yang mempunyai 20,116 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY 22/11/2025




















