
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 memperlihatkan peralihan landskap politik yang ketara apabila jajaran baharu melibatkan kerjasama antara BN dan PN sedang berada di hadapan bagi mencabar kedudukan PH.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, landskap politik kali ini terbuka sepenuhnya dan jelas berbeza berbanding PRN 2023 di mana Kerajaan Negeri Sembilan terbentuk dari gabungan PH dan BN.
Menurutnya, keputusan ketika itu menyaksikan gabungan PH dan BN memenangi 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pecahan PH meraih 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala PN memenangi lima kerusi.
“Analisis matematik menunjukkan PH memperoleh 38.7 peratus undi popular, BN (22.2 peratus) dan PN (37.7 peratus),” ujarnya yang kini menjalani penyelidikan pasca doktoral di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
Fasa baharu dinamika politik pula katanya, menyaksikan PH bertanding bersendirian di kesemua 36 kerusi, manakala susunan 25 calon BN dan 11 calon PN mewujudkan pertandingan utama tanpa pertindihan antara kedua-dua blok berkenaan.
Menurutnya, langkah PN menampilkan lima calon PAS, empat calon WAWASAN serta masing-masing seorang calon daripada GERAKAN dan MIPP membentuk struktur asas jajaran baharu BN bersama parti-parti tersebut bagi berdepan PH di hampir setiap kawasan.
“Secara matematik, gabungan undi BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) menghampiri 60 peratus. Angka ini tidak boleh dicampurkan secara mekanikal kerana pemindahan undi tidak pernah berlaku secara sempurna.
“Tetapi ia menunjukkan betapa mencabarnya laluan PH (Pakatan Harapan) sekiranya penyokong BN dan PN benar-benar bersatu di belakang calon jajaran yang sama,” kata Dr Nur Ayuni.
Mengulas mengenai kesan penjajaran baharu itu terhadap kubu kuat parti bertanding, beliau menjelaskan situasi berkenaan menjadikan banyak kerusi BN yang sebelum ini marginal kini berada dalam zon jauh lebih selamat.
“Pada 2023, BN memenangi Palong dengan majoriti 564 undi, Seri Menanti (370), Kota (135), Senaling (662), Juasseh (78), Sungai Lui (535) dan Lenggeng (685). Kesemua kerusi tersebut dimenangi dalam pertandingan menentang calon PN.
“Dengan PAS dan rakan-rakannya dalam PN kini tidak meletakkan calon menentang BN, sebahagian besar undi PN dijangka berpindah kepada calon BN, walaupun BERSATU mungkin menyerap sebahagian daripadanya.
“Sebaliknya, beberapa kerusi PH yang dimenangi dengan majoriti tipis pada 2023 kini menjadi lebih terdedah. Ampangan dimenangi dengan majoriti hanya 329 undi, Klawang (577), Pilah (1,079) dan Sikamat (2,662).
“Kebanyakan kawasan ini mempunyai lebih 65 peratus pengundi Melayu,” ujar beliau turut mengaitkan kesan limpahan daripada keputusan PRN Johor baru-baru ini.
Di mana di Johor, BN menguasai 48 daripada 56 kerusi atas faktor sokongan luar jangka daripada PAS kepada calon BN di kawasan tidak ditandinginya serta peralihan undi India didapati memberikan amaran jelas kepada PH.
Jelasnya, strategi pilihan raya di Negeri Sembilan kini lebih bergantung kepada keupayaan jentera mengeluarkan pengundi tegar masing-masing di mana dengan corak seperti di Johor berpotensi berlaku pada PRN ini.
“BN tidak semestinya perlu meraih sebahagian besar penyokong tegar PH. Memadai sekiranya jentera BN–PN berjaya mengeluarkan pengundi mereka sendiri dalam jumlah besar, sementara sebahagian penyokong PH memilih untuk tidak mengundi,” tambahnya.
Berdasarkan penilaian semasa, calon BN mempunyai kelebihan ketara di 13 kerusi majoriti Melayu termasuk N.02 Pertang (Datuk Seri Jalaluddin Alias), N.03 Sungai Lui (Datuk Mohd Razi Mohd Ali) dan N.06 Palong (Datuk Mustapha Nagoor).
Juga N.07 Jeram Padang (Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir), N.09 Lenggeng (Datuk Mohd Asna Amin), N.15 Juasseh (Datuk Ismail Lasim), N.16 Seri Menanti (Muhammad Sufian Maradzi) dan N.17 Senaling (Mohamad Qayyum Abd Jalil).
Selain N.19 Johol (Datuk Saiful Yazan Sulaiman), N.26 Chembong (Datuk Zaifulbahri Idris), N.27 Rantau (Datuk Seri Mohamad Hasan), N.28 Kota (Suhaimi Aini) dan N.35 Gemencheh (Suhaimizan Bizar).
Sementara itu, beliau menjangkakan kerusi N.18 Pilah beralih kepada calon BN, S Leza Md Yasin, manakala N.20 Labu memberikan kelebihan tipis kepada Siti Nur Umaira Hasim (BN).
Manakala di N.32 Linggi katanya, pertarungan sengit menyaksikan penyandang BN, Datuk Mohd Faizal Ramli mendahului tipis di belakang pengaruh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH).
Bagi kem PN ujarnya, empat kerusi kukuh yang dimenangi pada 2023 dijangka dapat dipertahankan melalui jentera PAS dan rakan gabungan iaitu N.05 Serting (Mohd Fairuz Mohd Isa) dan N.25 Paroi (Kamarol Ridzuan Mohd Zain).
Juga N.31 Bagan Pinang (Abdul Fatah Zakaria) dan N.34 Gemas (Ridzuan Ahmad), selain tiga lagi kerusi berpotensi beralih kepada PN ialah N.14 Ampangan melalui Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, N.13 Sikamat menerusi Datuk Razali Abu Samah dan N.04 Klawang yang ditandingi Danni Rais.
Dalam perkembangan sama, PH jangka beliau, kekal dominan di 10 benteng kuatnya termasuk N.10 Nilai (J. Arul Kumar), N.36 Repah (Veerapan Superamaniam), N.22 Rahang (Siau Meow Kong) dan N.08 Bahau (Teo Kok Seong).
Juga N.21 Bukit Kepayang (Nicole Tan Lee Koon), N.24 Seremban Jaya (S. Mugunthan), N.29 Chuah (Yew Boon Lye), N.30 Lukut (Choo Ken Hwa), N.23 Mambau (Lee Kai Yet) dan N.11 Lobak (Chew Seh Yong).
Bagaimanapun katanya, tiga kerusi PH iaitu Chennah (Anthony Loke Siew Fook), Temiang dan Sri Tanjung dilaporkan tidak berada dalam kedudukan selesa sekiranya berlaku penyatuan undi pembangkang atau kemerosotan kadar keluar mengundi.
Bagi BERSATU menurutnya, ketiadaan rakan tradisi seperti PAS meletakkan parti itu dalam laluan sukar dengan peluang terbaik hanya tertumpu di DUN Labu melalui penyandang, Mohamad Hanifah Abu Baker.
Kehadiran calon BERSATU di beberapa kawasan lain disifatkan lebih cenderung bertindak sebagai pemecah undi Melayu yang secara tidak langsung boleh membantu calon PH.
Dr Nur Ayuni keseluruhan indikator politik semasa mengunjurkan julat kemenangan jajaran BN–PN adalah sekitar 23 hingga 26 kerusi, PH meraih antara 10 hingga 13 kerusi, manakala BERSATU berdepan jangkaan memenangi antara sifar hingga satu kerusi. – HARAKAHDAILY 18/7/2026











