Dato’ Dr Rafie buat ‘come back’ di N.14 Ampangan

Sedia rampas kerusi Ampangan daripada PH

- Advertisement -

SEREMBAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek bakal berdepan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pertembungan tiga penjuru itu menyaksikan calon PN, Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU bersaing merebut kerusi DUN berkenaan selepas proses penamaan calon di Wisma Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.

Pada penggal 2018-2023, Rafie berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan di bawah PH-PKR, namun namanya digugurkan pada PRN Ke-15 dan bertanding sebagai calon bebas.

Mohamad Rafie yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Sembilan bertanding menggunakan tiket PN bagi PRN16 Negeri Sembilan ini sebagai calon nombor tiga.

Beliau diiringi Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad dan juga Presiden WAWASAN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Razman Zakaria dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Mohamad Rafie menerima sokongan pencadang, Mohd Ishack Mahadumsa dan penyokong, Muhammad Safwan Hasamudin bagi melengkapkan proses pencalonan.

Beliau yang memiliki Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan dari Universiti Selangor (UniSel) akan berdepan calon PH, Datuk Muhammad Nazri Kassim daripada PKR serta calon BERSATU, Noor’Azah Harun.

Turut sama dalam perarakan ialah calon PERIKATAN NASIONAL yang merebut kerusi DUN N.13 Sikamat daripada WAWASAN iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Datuk Razali diumumkan akan menentang Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta calon Pakatan Harapan daripada PKR, Nor Azman Mohamad. – HARAKAHDAILY 18/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -