
JEMPOL: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) bakal dicabar dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Mohd Fairuz yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sedia mempertahankan kerusi dimenangi beliau pada PRN15 tahun 2023 dahulu itu, terkini dicalonkan buat kali ketiga dalam pilihan raya.
Beliau dinamakan sebagai calon PN daripada PAS bagi DUN N.05 Serting pada hari penamaan calon yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, di sini hari ini.
Mohd Fairuz menerima sokongan daripada penyokong, Muhammad Alzukri Muhamad Yassin dan pencadang, Zulkefly Limat.
Calon nombor satu itu akan berdepan dua pencabar lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH) daripada PAN, Yaakob Mahmood dan calon BERSATU, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh.
Pada perarakan calon, Mohd Fairuz diiringi Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau turut pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di DUN Jeram Padang sebelum diberikan amanah bertanding di DUN Serting pada PRU15. – HARAKAHDAILY 18/7/2026












