
JEMPOL: PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat bersiap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini dengan prestasi sangat baik, selain kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang diolah sesuai perkembangan semasa.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa dalam memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama sepenuhnya dengan BN.
“Alhamdulillah menunjukkan satu prestasi yang sangat baik. Persiapan memang kita dimaklumkan daripada awal.
“Kita tidak gopoh, lihat perkembangan daripada masa ke semasa,” ujarnya ketika ditemui wartawan semasa mengiringi calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi DUN N.05 Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol di sini hari ini.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan semangat PN dan persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai semangat PN selepas proses penamaan calon, Tuan Guru menjelaskan ia berada pada tahap sangat baik, khususnya berkaitan kerjasama dengan Umno dan BN.
“Semangatnya sangat baik khususnya kerjasama dengan Umno-Barisan Nasional. Yang penting kita pastikan kuasa Melayu-Islam memimpin Negeri Sembilan,” jawab mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Ditanya mengenai dakwaan di media sosial berhubung istilah ‘kahwin campur’ berkaitan kerjasama politik itu, beliau menjelaskan hubungan berkenaan lebih kepada persaudaraan.
“Lebih daripada kahwin, persaudaraan,” jelas mantan Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Marang itu.
Mengenai kemungkinan kerjasama kempen antara PN dan BN, Tuan Guru menegaskan, kedua-dua pihak akan saling membantu di kawasan masing-masing.
“Insya-Allah. Kerjasama. Dia (BN) kempen tempat kita (PN), kita (PN) kempen tempat dia (BN). Yang penting ialah ikatan yang berjaya, yang berkat yang menyelamatkan rakyat,” serunya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden BERSATU bahawa PAS dalam gabungan PN kini mempunyai unsur toksik serta cuba meminggirkan BERSATU, Tuan Guru menafikan perkara itu.
“Itu tak benar, tak benar. Apa yang berlaku ialah salah BERSATU dalam kerjasama,” jawab Tuan Guru.
Mengulas pertanyaan bahawa ketiadaan kerjasama PAS akan memudahkan BERSATU menarik pengundi bukan-Melayu, Tuan Guru berkata perkara itu terpulang kepada pengundi.
“Terpulang kepada dialah (BERSATU). Lihat kepada (penerimaan) pengundi,” jawab Tuan Guru secara ringkas bagi persoalan tersebut.
Mengenai sasaran PN pada PRN Negeri Sembilan, Tuan Guru menjelaskan, pihaknya berharap dapat memenangi semua kerusi yang ditandingi.
Tuan Guru turut memaklumkan maklum balas akar umbi terhadap kerjasama PN dan BN adalah sangat baik.
Ditanya sama ada kerjasama berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara, Tuan Guru berkata, perkara itu akan diusahakan demi memastikan keselamatan negara.
“Itu kita akan panjangkan, usahakan. Yang penting ialah negara kita selamat,” kata Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 18/7/2026













