Undi PN: Rakyat Sabah perlu berani buat perubahan

Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) bersama Hasan Haris dan petugas pilihan raya dari Terengganu pada majlis taklimat, petang semalam.
- Advertisement -

KALABAKAN: Rakyat Sabah perlu berani untuk membuat perubahan ke arah kebaikan dengan mengundi calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini.

- Advertisement -

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Abdullah ketika berucap pada majlis ceramah kelompok bersama calon PN bagi DUN Merotai, Hasan Haris dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak di Kuala Merotai, malam tadi.

Dalam ucapan itu, beliau menekankan bahawa antara perjuangan PN ialah membawa keadilan serta memastikan kestabilan politik.

“Kita juga menolak politik wang, kerana akhirnya yang akan menanggung akibat adalah masa depan anak-anak kita sendiri,” ujarnya.

Wan Sukairi juga menyentuh sejarah pemerintahan kerajaan Terengganu dan berpesan agar rakyat berani membuat perubahan demi kebaikan bersama.

Beliau menjelaskan, salah satu kunci kemenangan kerajaan negeri Terengganu pada PRU15 lalu kerana rakyat berani membuat perubahan.

“Rakyat di DUN Merotai khususnya dan keseluruhan di Sabah perlu berani dan bertindak untuk membuat perubahan ke arah kebaikan dengan mengundi calon dari Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, pada 29 November ini, rakyat Merotai akan membuat pilihan yang terbaik dan penuh hikmah dengan mengundi calon PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.

Katanya, untuk PRN Sabah kali ini, Terengganu diberi amanah sebagai negeri angkat yang membantu jentera di DUN Merotai yang agak luas dan mempunyai 26,179 pengundi

Menurutnya, petang semalam, beliau turut bersama para petugas menghadiri sesi taklimat yang dipimpin oleh Pengarah Operasi, Mohd Alghazali Abu Bakar.

“Alhamdulillah, pasukan petugas dari Terengganu kini sudah memasuki gelombang ketiga kempen, dan insya-Allah gerak kerja semakin tersusun dan bertenaga,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 22/11/2025

- Advertisement -