‘Bah, kalau jadi wakil rakyat, jangan lupa kami’

Dr Afifi Said tekun mendengar cerita yang disampaikan oleh seorang warga emas di Kampung Petagas.
- Advertisement -

PUTATAN: “Bah, kalau jadi wakil rakyat, jangan lupa kami.” Itulah seolah-olah yang mahu diungkapkan tuan rumah yang diziarahi calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Petagas, Dr Afifi Saif.

- Advertisement -

Menurutnya, pagi tadi beliau turun melakukan ziarah di Kampung Petagas, perjalanan yang ringkas tetapi penuh cerita yang menyentuh hati.

Beliau berkata, setiap rumah yang disinggahi, ada kisah tersendiri.

“Ada yang senyum sambut di pintu, ada yang perlahan-lahan kongsi beban hidup, dan ada yang sekadar genggam tangan kuat-kuat dan menatap wajah kita, seolah-olah mahu berkata, ‘bah, kalau jadi wakil rakyat, jangan lupa kami,” ujarnya di laman sosial.

Tambahnya, dalam setiap ziarah, beliau belajar sesuatu, bahawa rakyat bukan minta benda besar-besar.

Sebaliknya, kata Dr Afifi, rakyat cuma mahu didengari, disapa, dan dirasai kehadiran pemimpin yang dekat dengan mereka.

Jelas beliau, ziarah itu bukan hanya tentang hulur tangan atau meminta undi, tetapi menghulurkan masa, perhatian dan semangat.

“Ada seorang pakcik berkata, ‘anak, politik ni jangan gaduh-gaduh. Kami mau kamu datang begini selalu, tengok kami, dengar kami’. Kata-kata sangat terkesan.

“Dan itulah janji saya, untuk terus berjalan, mengetuk pintu tanpa kira siapa penyokong siapa, kerana khidmat itu bukan milik parti, tetapi milik rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, Petagas bukan sekadar kawasan pilihan raya tetapi keluarga besar.

“Di sini lah tempat kelahiran saya, dan keluarga perlu dijaga dengan kasih.

“Insya-Allah, selagi diberi kudrat, saya akan terus turun, menyantuni, dan mendengar,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Negeri kali ini, Dr Afifi berdepan saingan dengan sembilan lagi calon di DUN Petagas yang mempunyai 20,116 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY 21/11/2025

- Advertisement -