
KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Dato’ Rosli Abdul Jabar turun padang membantu penduduk Taman Guru yang terperangkap akibat banjir yang semakin buruk, hari ini.
Dalam usaha menyelamatkan penduduk, Wan Razali turut memindahkan seorang mangsa yang mengalami strok menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan paras air terus meningkat dengan pantas.
“Air makin naik, kami bantu Ustaz sekeluarga berpindah segera,” katanya berkongsi menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurut beliau, Petugas Jabatan Amal Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia turut menghulurkan bantuan khususnya dalam memindahkan pesakit, warga emas serta kaum ibu.
Selain operasi pemindahan, Wan Razali bersama Rosli turut menyantuni mangsa banjir di Dewan Komuniti Taman Guru dengan mengagihkan roti sebagai alas perut kepada mangsa yang ditempatkan di pusat berkenaan.
Difahamkan, Dewan Komuniti Taman Guru dijadikan lokasi pemindahan susulan kapasiti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di KAFA Taman Guru yang telah penuh.
Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di beberapa daerah di Pahang terus meningkat apabila seramai 3,471 orang daripada 1,092 keluarga kini ditempatkan di 30 PPS melibatkan lapan mukim setakat laporan terkini.
Di daerah Kuantan, sebanyak 14 PPS dibuka bagi menempatkan 2,684 mangsa daripada 841 keluarga melibatkan tiga mukim yang terjejas.
Di Pekan pula, seramai 178 mangsa daripada 49 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS melibatkan satu mukim.
Bagi daerah Rompin, enam PPS dibuka dengan menempatkan 239 mangsa daripada 76 keluarga melibatkan tiga mukim, manakala di Maran, sembilan PPS menempatkan 370 mangsa daripada 126 keluarga melibatkan satu mukim.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata amaran hujan berterusan (Bahaya) hingga esok, 18 Disember akan berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Amaran hujan berterusan (Buruk) pula berkuat kuasa di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) hingga esok.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan termasuk Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan dan Melaka.
“Turut terkesan ialah Johor iaitu daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru,” demikian kenyataan agensi itu hari ini. – HARAKAHDAILY 17/12/2025




















