
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata penguasaan pentadbiran negara kini berada sepenuhnya di bawah satu parti politik, merangkumi Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
Menurutnya, terdapat tiga peringkat utama kerajaan iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, dengan Kuala Lumpur sebagai kerajaan tempatan terbesar.
Manakala katanya, Putrajaya pula disifatkan sebagai kerajaan tempatan paling strategik kerana berperanan sebagai pusat pentadbiran negara.
“Kerajaan tempatan terbesar ialah Ibu Negara Kuala Lumpur. Kerajaan tempatan paling strategik ialah Putrajaya. Kedua-duanya di bawah Wilayah Persekutuan,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Annuar berkata, kesemua entiti berkenaan berada di bawah bidang kuasa dua kementerian utama iaitu Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
“Semalam sejarah tercipta. Kedua-dua kementerian ini di bawah kuasa menteri yang datang dari satu parti. Lengkaplah kini penguasaan penuh mereka terhadap semua kerajaan tempatan, ibu negara dan pusat pentadbiran negara,” bimbangnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut menyifatkan kejayaan tersebut dicapai hasil kesatuan dan pengaruh politik yang kuat dalam menguasai kerajaan ketika ini.
“Sementara kita hanya layak makan ‘gula-gula’ kerana kita memilih untuk berpecah dan sekadar jadi ‘pelengkap’ saja. Kita king maker, mereka king sebenar. Siapa lebih bijak? Menang sorak, kampung tergadai,” katanya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Beliau berkata rombakan itu dibuat bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi lebih berkesan, mengisi kekosongan sedia ada serta menumpukan usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Secara keseluruhan, rombakan berkenaan melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri. – HARAKAHDAILY 17/12/2025











