
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula serta menyiasat insiden kematian tiga lelaki di Durian Tunggal bulan lalu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, kepentingan akauntabiliti serta kepercayaan awam bahawa kes kehilangan nyawa akan disiasat secara menyeluruh, telus, bebas dan tanpa prejudis.
“(Langkah ini penting) terutama sekali apabila wujudnya keraguan mendalam terhadap penjelasan awal kes oleh pihak polis,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung PAS dan juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata Ahli-ahli Parlimen PN turut menggesa semua pihak berkaitan supaya memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat, selain bersikap profesional dan membenarkan proses undang-undang berjalan secara bebas serta lancar.
“Ini bagi memastikan keadilan akan tertegak,” katanya menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen PN akan terus memantau rapat perkembangan kes berkenaan demi kepentingan kebenaran dan keadilan, kepercayaan awam serta integriti institusi-institusi negara.
Terdahulu media tempatan melaporkan, siasatan kes tembakan melibatkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC memaklumkan arahan itu dibuat selepas meneliti laporan polis dan menyatakan beberapa tindakan lanjut masih diperlukan bagi melengkapkan siasatan sebelum keputusan muktamad diambil.
Kes berkenaan berlaku pada 24 November lalu apabila tiga lelaki ditembak mati di sebuah ladang kelapa sawit, manakala keluarga suspek kemudiannya menafikan dakwaan tindakan agresif sehingga mendorong penubuhan pasukan khas siasatan. – HARAKAHDAILY 17/12/2025











