
ROMBAKAN kabinet yang diumumkan baru-baru ini jelas bersifat tangkap muat dan lebih memaparkan usaha menyelamatkan kestabilan koalisi. Ia menjadi manifestasi sebenar bahawa PMX hanya sebagai pengurus koalisi untuk memastikan blok-blok kuasa dalam kerajaan tidak berpecah, walaupun mengorbankan prinsip reformasi dan merugikan negara.
Pemuda PAS menzahirkan kebimbangan dan kritikan tegas mengenai perkara berikut:
a. Peningkatan pengaruh DAP dalam kabinet.
Rombakan ini memperlihatkan pengukuhan kedudukan DAP dalam dua kementerian baru iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang juga merupakan portfolio yang bersifat strategik.
DAP telah menjawat jawatan menteri dalam 3 kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan, Digital, Kerajaan Tempatan ditambah dua kementerian baru akan memberi kesan langsung kepada struktur bandar, dasar digital/komunikasi, serta hala tuju pentadbiran wilayah dan kerajaan tempatan.
b. Portfolio penting didominasi DAP. Berpotensi menjadi laluan melaksanakan agenda URA dan pilihan raya PBT.
Melalui rombakan ini, penguasaan ke atas kementerian berkait perumahan, bandar dan kerajaan tempatan, serta urusan Wilayah Persekutuan membuka ruang besar untuk dasar-dasar kontroversi seperti Urban Renewal Act (URA) dan dorongan ke arah pilihan raya PBT.
Kedua-duanya lantang diperjuangkan DAP dan jika ia dilaksanakan akan menjejaskan hak pemilikan, perubahan demografi dan keseimbangan kuasa tempatan serta menghakis kuasa orang Melayu di bandar.
c. Budaya kronisme dan anak-beranak makin dinormalisasi.
Rombakan semalam bukan sahaja tidak mengasingkan jawatan PMX yang menjawat posisi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan namun bertambah kritikal. Pelantikan Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang juga anak kepada Speaker Dewan Rakyat membuktikan bawah kepimpinan PMX, kuasa hanya berputar dalam lingkungan keluarga elit, bukan berdasarkan merit dan keperluan reform institusi.
d. Pengekalan tokoh lama yang terpalit kontroversi dan prestasi bermasalah.
Menteri Pendidikan, Pelancongan dan Menteri KDN sering menjadi perhatian awam kerana isu-isu pengurusan, komunikasi, serta kontroversi berulang masih dikekalkan. Pengekalan menteri-menteri ini memberi mesej bahawa dalam kabinet PMX, penilaian prestasi bukan keutamaan, sebaliknya pertimbangan politik dan kesetiaan lebih diangkat.
e. Percaturan awal menuju PRU16 oleh PKR semakin ketara.
Rombakan ini turut memperlihatkan susunan portfolio yang seakan membina ‘jentera politik’ awal menjelang PRU16 untuk PKR apabila kementerian yang dekat dengan rakyat, belia dan tenaga kerja serta melibatkan data peribadi iaitu KBS dan KeSuMa. Meletakkan dua kementerian ini dalam genggaman PKR seolah-olah usaha untuk memanfaatkan kuasa eksekutif sebagai modal pilihan raya.
Pemuda PAS berpendirian bahawa rombakan kabinet semalam adalah bukti reforbasi yang melanda negara, bukan reformasi. Rombakan ini berpotensi membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara kerana ia lebih mencerminkan rundingan kepentingan parti-parti dalam kerajaan, bukan keutamaan pentadbiran yang telus, cekap dan berprinsip.
Jika kabinet dibina atas logik ‘siapa perlu dipuaskan’, bukan ‘apa masalah rakyat perlu diselesaikan’, maka yang runtuh akhirnya bukan sahaja struktur pentadbiran tetapi bebanan kepada rakyat dan merosakkan masa depan negara.
USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar – HARAKAHDAILY 18/12/2025




















