Sokong produk tempatan perlu dimula dengan diri sendiri

- Advertisement -

JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin menegaskan sokongan terhadap produk tempatan perlu dimulakan dengan diri sendiri, selari usaha memperkasa industri automotif negara.

- Advertisement -

“Sokong produk tempatan, insya-Allah saya sendiri akan menjadi antara pelanggan terawal Perodua Traz,” katanya melalui hantaran di laman sosialnya, semalam.

Beliau menyatakan demikian susulan merasmikan Majlis Peluncuran Perodua Traz yang berlangsung di Perodua Jerantut sempena pelancaran serentak SUV terbaharu keluaran Perodua di seluruh negara, di sini semalam. (Foto atas)

Tambahnya, pelancaran tersebut merupakan satu penghargaan besar apabila beliau diberi kepercayaan untuk merasmikan model baharu berkenaan di peringkat tempatan.

“Peluang sebegini amat saya hargai kerana ia cukup istimewa. Terima kasih kepada pihak Perodua Jerantut atas jemputan dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengurus Perodua Jerantut (G-Mart Holdings Sdn Bhd), Mohd Azmi Leebon, atas komitmen dan kepercayaan menjayakan majlis berkenaan.

Khairil Nizam berkata, Perodua Traz tampil dengan reka bentuk eksklusif, tahap keselesaan yang optimum serta ditawarkan pada harga marhaen, sekali gus sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Ini membuktikan komitmen Perodua dalam menyediakan kenderaan berkualiti tinggi yang mampu dimiliki rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai Perodua Traz dipelawa mengunjungi cawangan Perodua terdekat. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -