
KUALA LUMPUR: Hasrat DAP untuk merealisasikan agenda besarnya iaitu melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) kini terbuka lebih luas dengan perlantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Pengerusi Gerakan Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu secara konsisten menyokong pilihan raya tersebut sebagai sebahagian langkah reformasi demokrasi di Malaysia.
Menurutnya, perlantikan Ahli Parlimen Segambut dan Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu seperti mendapat keuntungan yang besar secara tiba-tiba dan tanpa disangka.
“Kerana selama ini mereka sudah lama mengintai peluang sebaik ini, bermacam cara dicadangkan termasuk pilihan raya kerajaan tempatan untuk menguasai Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama yang lain.
“Alih-alih dan tiba-tiba (perlantikan) mereka mendapat durian musang king runtuh dan mereka mendapat lebih daripada apa yang diidam-idamkan selama ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zai menambah pelantikan yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran bahawa usaha tersebut sudah mendapat lampu hijau untuk menguasai bandar-bandar utama.
Malah beliau berkata, dengan apa yang berlaku sekarang ini slogan Malaysian Malaysia diperkukuhkan dan menjadi teras utama ideologi DAP, walaupun mendapat bantahan antara parti menjadi mendokong kerajaan.
Menurutnya dari segi politik, kerajaan sudah memberi kepercayaan bahawa Kuala Lumpur bakal berubah dengan pelaksanaan polisi dan dasar yang boleh diterapkan dalam pentadbiran kota metropolitan itu.
“Dasar DAP Malaysian Malaysia sudah pasti akan mendasari gerak kerja menteri DAP ini, perumahan perniagaan pembangunan bandar, mereka akan corakkan dengan pelbagai idea mewarnai rancangan halus ini.
“Strategi antara menteri kerajaan tempatan meluluskan semula undang-undang pembangunan semula bandar akan dilaksanakan dengan lebih tersusun dan merupakan indikator penting DAP dalam kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2025




















