
KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) baru-baru ini disifatkan sebagai mengecewakan dan sekadar usaha untuk mengukuhkan kuasa politik tanpa mempedulikan keluh kesah rakyat.
Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, apa yang berlaku dalam kerajaan hari ini dilihat mengekalkan prestasi buruk dan langsung tidak mendengar pandangan serta kemarahan rakyat.
Beliau menempelak tindakan PMX yang memungkiri janji sendiri mengenai pemisahan kuasa apabila terus memegang jawatan Menteri Kewangan, walaupun pernah berjanji mewujudkan semak dan imbang (check and balance) ketika menjadi pembangkang.
Menurut Nurul Islam, pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri dan Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dilihat sebagai satu langkah drastik yang mengubah tradisi kepimpinan Melayu di kementerian tersebut.
”Selama ini dari mula Wilayah Persekutuan wujud, Menterinya semuanya Melayu sebab nak jaga hak dan keperluan orang Melayu Islam bandar. Sekarang, dah boleh ‘bai bai’.
”Baru beri Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) kepada DAP, dia dah nak ‘bulldoze’ bentang RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA). Ni sekarang PMX beri ‘pakej combo’, Menteri KPKT dan Menteri Wilayah,” katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan bahawa gabungan ini memberi isyarat jelas bahawa agenda tersebut akan dilaksanakan segera di Wilayah Persekutuan.
Tambahnya, selepas URA, dikhuatiri sayap DAP akan dilebarkan untuk membentangkan RUU Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pula sebagai cara menguasai cabang kerajaan secara meluas.
Nurul Islam turut mempersoalkan tindakan PMX mengekalkan beberapa menteri yang terpalit dengan pelbagai isu dan prestasi hambar.
”Fadhlina Sidek tak perlu tulis panjang, kita tahu betapa buruk prestasinya sehinggakan wakil rakyat kerajaan pun kritik dia. Tiong King Sing pula seolah-olah kebal dari tindakan. Isu serang pegawai imigresen di KLIA sampai mabuk tak tentu hala, elok pula dikekalkan,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh mengenai pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilihat sudah melupakan perjuangan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta pelantikan Marhamah Rosli yang dikaitkan dengan isu besar namun tiada penjelasan tuntas diberikan.
Dalam pada itu, Nurul Islam menyifatkan PAN sebagai pihak paling kasihan dalam komponen Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kerana tiada lantikan baharu yang signifikan malah kerusi menteri Allahyarham Salahuddin Ayub turut diserahkan kepada parti lain.
”Penat Sany Hamzan tawarkan diri dalam Parlimen. Takpelah, PAN kan ‘balaci’ DAP. DAP dapat pun mereka gembira,” sindirnya menyimpulkan rombakan kabinet ini langsung tidak mengubah apa yang menjadi kemarahan rakyat selama ini, sebaliknya hanya memberi fokus kepada penyusunan kuasa PMX.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam menegaskan bahawa keluh kesah rakyat nampaknya bukan lagi keutamaan kerajaan hari ini. – HARAKAHDAILY 18/12/2025




















