
SHAH ALAM: Pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai gerakan kultus ‘Gereja Unification’ yang berasal dari Korea Selatan perlu dilihat secara objektif dari sudut ancaman pendakyahan, dan bukannya disalah tafsir sebagai tindakan menghukum murtad mana-mana individu.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, usaha yang digerakkan oleh penyelidik kultus, Ustaz Ahmad Iqram Mohamad Noor adalah berteraskan kajian bertahun lamanya bertujuan membongkar kesesatan yang berlaku secara halus.
Menurutnya, naratif pendedahan tersebut perlu difahami dengan betul iaitu memfokuskan kepada gerakan dakyah yang berlaku secara sedar atau tanpa sedar, malah melibatkan orang Islam.
“Pendedahan itu bukan untuk menghukum akidah sesiapa. Ia untuk membongkar usaha dakyah yang berlaku secara halus dan senyap, sehingga kita dan yang didakyah tidak perasan adakalanya.

“Sama ada yang didakyah itu tahu, terkesan, tidak tahu atau ditipu itu tidak penting, dan bukan soal pokok dalam pendedahan itu. Dakyah itu berlaku dan dibuktikan,” katanya.
Yusfarizal yang juga seorang pengamal undang-undang menegaskan, isu kesucian agama dan kecelikan umat terhadap ancaman luar tidak seharusnya dibataskan oleh pegangan politik kepartian.
Tambahnya, masyarakat kini terdedah kepada pelbagai fahaman merosakkan seperti liberalisme dan pluralisme, justeru usaha mendedahkan gerakan kultus ini tidak wajar dipandang sepi demi menyelamatkan akidah umat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Ahmad Iqram mendedahkan beliau telah menjejakkan kaki sendiri ke ibu pejabat kultus tersebut di Gapyeong, Korea Selatan hasil simpanan sendiri demi mendapatkan bukti sahih.
Beliau yang memulakan kajian sejak 2018 berkata, kunjungannya ke arkib ‘Istana Suci’ kultus tersebut telah membongkar pelbagai laporan, gambar dan video yang mengaitkan aktiviti dakyah mereka di Malaysia.

“Apabila saya menaip perkataan ‘Malaysia’ dalam sistem data mereka, terpapar ribuan laporan, gambar dan video segala aktiviti dakyah mereka di sini.
“Perkara yang menyakitkan jiwa saya sebagai Muslim apabila melihat dan membaca laporan betapa ramai orang Melayu diperdaya oleh helah kultus ini untuk terlibat dengan upacara ‘Blessing’ mereka,” ujarnya.
Ustaz Ahmad Iqram turut menegaskan beliau memiliki rakaman video sensitif melibatkan upacara ritual dan penglibatan ahli politik Malaysia yang dirakam semula dari arkib tersebut sebagai bukti.
“Jikalau lepas ini ada mana-mana ahli politik yang cuba menafikan atau mahu menyaman saya, saya akan tunjukkan. Sangat sesuai untuk dibentangkan dalam mahkamah,” katanya.
Hasil dapatan kajian mendalam tersebut kini telah dibukukan di bawah tajuk ‘Bayang Moon Di Bumi Malaysia’ dan ‘Ekonomi Kultus’ sebagai rujukan umat Islam agar berwaspada dengan gerakan jarum halus musuh Islam.
Menurut Ustaz Iqram, individu yang terlibat dengan gerakan ini terbahagi kepada golongan yang menjadi mangsa tanpa sedar, dan golongan yang konsisten menyertai serta mempertahankan dakyah tersebut.
“Bagi mereka yang bergerak seiring dengan usaha halus dakyah ini, mereka perlu ditanyakan soalan apakah kamu juga tertipu, atau ada sesuatu?” soal Yusfarizal menyokong usaha pendedahan tersebut. – HARAKAHDAILY 18/12/2025











