
KUALA SELANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan turun padang meninjau aduan penduduk mengenai isu tapak pembuangan sampah yang kotor dan tidak terurus di Jalan Surau, Kampung Parit Mahang, di sini.
Beliau berkata, tinjauan tersebut dibuat susulan aduan diterima sejak beberapa hari lalu mengenai keadaan tapak berkenaan yang mengeluarkan bau busuk serta menjadi kacau ganggu kepada penduduk setempat.
Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati sampah sarap seperti perabot terpakai, tayar, sisa makanan, pakaian dan plastik dibuang secara bertaburan sehingga melimpah keluar dari tong yang disediakan.
“Lebih membimbangkan, saya dimaklumkan bahawa longgokan sampah tersebut telah memasuki lot tanah persendirian yang menimbulkan isu pencerobohan hak milik.
“Penduduk turut mencadangkan supaya tapak pembuangan sampah ini dipindahkan ke lokasi yang lebih jauh daripada kawasan perumahan demi keselesaan mereka,” katanya.
Susulan aduan tersebut, Jefri merakamkan penghargaan kepada pihak KDEB Waste Management yang bertindak pantas menjalankan kerja-kerja kutipan sampah seawal jam 5.30 pagi semalam.
Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa kesal apabila mendapati masih terdapat sampah yang dibuang di luar tong sejurus selepas pembersihan dilakukan.
“Marilah kita sama-sama memainkan peranan dan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, demi kebersihan kampung dan kesejahteraan bersama.
“Saya memohon kerjasama semua pihak agar sampah dibuang ke dalam tong yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan tidak dicampakkan di atas jalan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jefri berkata beliau telah merujuk perkara ini kepada pihak KDEB dan dimaklumkan bahawa lokasi tersebut merupakan tapak pengumpulan sampah bagi Kampung Parit Mahang dengan jadual kutipan sebanyak tiga kali seminggu.
Jelasnya, beliau kini sedang giat berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih teratur.
“Saya sedang berusaha mencari solusi situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak. Bukan masanya mencari salah, tetapi carilah penyelesaian.
“Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan bagi memastikan persekitaran kampung kekal bersih dan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/12/2025











