
KOTA BHARU: Usaha menaik taraf infrastruktur jalan di kawasan kampung menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mohd Asri Mat Daud bagi memberi kemudahan besar kepada rakyat.
Dalam satu hantaran di media sosialnya, beliau bersyukur kerana projek membabitkan pembinaan jalan baru, pemasangan culvert, mengetar dan membatu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Beliau berkata, kemudahan tersebut diharap dapat meningkatkan aksesibiliti penduduk, ekonomi setempat, kualiti hidup serta kesihatan selain memperkukuhkan keselamatan dan juga kesejahteraan sosial.
“Alhamdulillah, projek membuka jalan baru, memasang kalbox, mengetar serta membatu jalan dalam Dun Demit dapat disiapkan secara berperingkat dan beberapa lagi dalam tindakan sebelum 2025 berakhir.
“Semoga kemudahan yang dilakukan ini dapat memberikan kemudahan kepada urusan seharian rakyat sekitar DUN Demit serta dapat mengelakkan daripada risiko bahaya semasa memandu,” kata beliau, semalam.
Dalam Belanjawan Kelantan bagi 2025, kerajaan negeri mengumumkan peruntukkan sebanyak RM8 juta kepada Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) bagi menyelaraskan pembangunan kemudahan itu di Kelantan.
Mohd Asri berkata, sebanyak dua projek bagi membuka laluan baru dari Kampung Tasik ke Kampung Terap dalam Mukim Terap dan Jalan Pauh Dua dalam Mukim Lubok Pukol dalam Daerah Banggu.
Selain itu kata beliau, usaha itu turut membabitkan pembinaan ‘culvert’ di Kampung Tok Keloi dalam Mukim Lubok Pukol disamping 12 projek mengetar jalan kampung dan enam membatu jalan.
Beliau berkata, penghulu memainkan peranan kritikal sebagai perantara antara penduduk dan kerajaan negeri dalam urusan pembangunan infrastruktur rakyat termasuk pembinaan jalan kampung.
“Mereka mengenalpasti lokasi yang memerlukan kemudahan jalan baru, mengetar jalan dan membatu jalan bagi memastikan kebajikan dan manfaat penduduk mukim dia sentiasa terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2025




















