
TUMPAT: Projek ternakan udang putih di Pantai Geting di sini berpotensi menjadi antara industri akuakultur utama negeri berikutan permintaan pasaran yang tinggi.
|Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat FZ Farm dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan.
“Projek ternakan udang putih ini kini sudah memasuki pusingan ketiga melibatkan 30 kolam ternakan dengan pengeluaran sekitar 1.5 tan bagi setiap pusingan.
“Setakat ini hampir semua kolam sudah dipenuhi ternakan dan permintaan terhadap udang putih sangat tinggi termasuk daripada restoran serta pasaran tempatan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak projek ternakan udang putih di Pantai Geting, di sini.
Menurut beliau, projek seluas tiga ekar itu dicadang diperluaskan lagi dengan tambahan tujuh ekar bagi memenuhi permintaan semasa.
Katanya, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk fasa kedua projek tersebut.
“Kita mahu jadikan kawasan ini sebagai pusat latihan kepada belia dan anak muda yang berminat menceburi bidang ternakan udang kerana pengusaha di sini sudah mempunyai pengalaman luas dalam industri ini,” ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat dua projek ternakan udang putih berskala besar di Kelantan iaitu di Pantai Geting dan Tok Bali.
Tambahnya, projek ternakan udang memerlukan kawasan serta sistem pengambilan air laut yang sesuai selain modal agak besar untuk diusahakan secara komersial.
“Untuk projek komersial sekurang-kurangnya perlu modal sekitar RM50,000 dan kerajaan negeri boleh membantu dari segi peralatan serta infrastruktur berdasarkan keperluan projek,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Projek dan Pelaburan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan, Zainul Aris berkata, pihaknya melakukan pemantauan berkala terhadap projek berkenaan bagi memastikan operasi ternakan berjalan lancar dan berdaya maju.
“Untuk makluman, pihak perbadanan akan turun memantau projek ini sekurang-kurangnya seminggu sekali bersama pihak syarikat.
“Kita pantau daripada peringkat awal sehingga operasi berjalan sepenuhnya supaya projek ini benar-benar berjaya dan boleh dikembangkan lagi pada masa depan,” ujarnya.
Menurut beliau, pemantauan itu turut melibatkan aspek teknikal serta latihan kepada peserta dan pengusaha baharu yang berminat menceburi industri ternakan udang putih.
Tambahnya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama antara syarikat dan kerajaan negeri dengan konsep perkongsian keuntungan.
“Pihak syarikat menyewa tanah dan modal utama disediakan pelabur sendiri, manakala kerajaan negeri membantu dari segi sokongan serta sedikit sumbangan melalui perbadanan.
“Industri ternakan udang putih di Kelantan masih baharu dan mempunyai potensi besar untuk diperluaskan pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2026




















