Kelantan rintis tanaman jagung bijian makanan ternakan

- Advertisement -

JELI: Kerajaan negeri terus memperkukuh usaha meningkatkan bekalan makanan ternakan tempatan menerusi projek penanaman jagung bijian dan penghasilan silaj di Melawi, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Damai bersama rakan strategik industri.

“Hari ini kita turun melihat program penanaman jagung bijian dan penghasilan silaj daripada batang serta daun jagung.

“Sekarang ini sudah ditanam sekitar 30 ekar melibatkan 14 hektar dan projek keseluruhan membabitkan 50 ekar termasuk tambahan kawasan di Kuala Krai,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak tanaman jagung bijian, di sini.

Menurut beliau, projek tersebut bertujuan membantu menyediakan bekalan jagung untuk makanan unggas seperti ayam dan itik selain menghasilkan silaj bagi makanan ruminan termasuk lembu, kambing dan kerbau.

“Jagung bijian ini antara bahan utama dalam formulasi makanan ternakan. Batang dan daun pula diproses menjadi silaj untuk membantu ternakan mendapat makanan yang cukup dan seimbang,” katanya.

Menurut beliau, projek bernilai RM900,000 itu dijangka mampu menghasilkan sehingga 100 tan jagung bagi fasa awal dengan nilai kasar melebihi RM180,000.

“Tanaman jagung bijian mengambil tempoh matang sekitar 110 hingga 120 hari berbanding jagung biasa yang hanya sekitar 75 hari.

“Jagung ini bukan untuk makanan manusia tetapi khusus untuk makanan ternakan kerana bijinya lebih keras dan perlu dikeringkan terlebih dahulu,” ujarnya.

Beliau menyatakan, kerajaan negeri juga merancang mewujudkan kemudahan pengeringan serta kilang makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.

“Kalau projek ini berjaya, ia boleh menjadi projek perintis untuk rakyat dan membantu memanfaatkan tanah-tanah terbiar,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Projek Jagung Bijian, Muhammad Nor Firdaus Nordin berkata, projek tersebut turut membuka peluang pekerjaan kepada graduan tempatan dalam bidang perladangan.

“Kita ada kira-kira 10 pekerja di sini dan sebahagiannya graduan fakulti perladangan. Ada yang masih praktikal dan ada juga yang sudah bekerja tetap,” katanya.

Tambah beliau, tugas pekerja melibatkan penyiraman tanaman, pembajaan, kawalan serangga serta pengendalian mesin dan traktor di kawasan ladang.

“Kalau musim panas kita ubah sedikit jadual kerja. Tengah hari mereka berehat lebih lama dan sambung semula kerja pada sebelah petang apabila cuaca lebih redup.

“Tanaman jagung bijian tidak terlalu rumit untuk diuruskan sekiranya pekerja mempunyai pengalaman dan sistem pengurusan yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -