Harum Manis alternatif gantikan tembakau di Kelantan

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan negeri melihat tanaman Harum Manis berpotensi menjadi tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau di kawasan sekitar Melawi yang sebelum ini terkenal sebagai kawasan penanaman tembakau.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ketika ini lebih 3,000 pokok Harum Manis telah ditanam melibatkan lebih 30 pengusaha di kawasan tersebut.

- Advertisement -

“Hari ini kita turun ke kebun Harum Manis di Melawi dan sekarang sudah ada 10 peserta yang tanamannya berbuah dengan usia pokok antara enam hingga tujuh tahun.

“Kita juga ada 10 peserta baharu dan keseluruhan pokok Harum Manis di Kelantan sekitar lebih 3,000 pokok,” katanya kepada media selepas lawatan ke kebun Harum Manis di Melawi, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah; Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin; ADUN Gaal, Mohd Rodzi Ja’afar; dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Menurutnya, kawasan Melawi dikenal pasti sesuai untuk tanaman tersebut berdasarkan pengalaman dan hasil yang telah diperoleh pengusaha tempatan.

“Tanaman Harum Manis mampu memberi pulangan lumayan kepada petani selain menjadi alternatif selepas kerajaan tidak lagi menggalakkan penanaman tembakau.

“Dulu kawasan Bachok terkenal dengan tembakau. Bila tanaman itu tidak lagi digalakkan, kita cari tanaman alternatif dan akhirnya dapati Harum Manis sesuai diusahakan di sini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Pertanian turut menghantar peserta mengikuti kursus dan latihan di Perlis bagi memperkukuh kemahiran penanaman Harum Manis.

“Kita wajibkan peserta mengikuti kursus terlebih dahulu sebelum diberi bantuan benih dan peralatan supaya mereka benar-benar serius dan berjaya dalam tanaman ini,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri bercadang menambah 20 peserta baharu tahun ini dengan setiap peserta akan menerima 100 anak benih Harum Manis.

Beliau menyatakan bahawa kawasan Melawi juga berpotensi dijadikan zon penanaman Harum Manis Kelantan memandangkan faktor cuaca panas yang sesuai untuk tanaman berkenaan.

“Hari ini Harum Manis Kelantan sudah ada identitinya sendiri. Ada buah yang mencapai berat hampir satu kilogram dan dijual sehingga RM30 hingga RM40 sekilogram.

“Permintaan terhadap Harum Manis Kelantan juga amat menggalakkan kerana pengguna tempatan sudah mengenali rasa dan kualiti buah tersebut,” katanya.- HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -