
PASIR PUTEH: Tok Bali kini berkembang sebagai hab logistik maritim dan industri sokongan minyak serta gas yang semakin penting di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembukaan operasi PETRONAIM membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri itu, khususnya di kawasan strategik Tok Bali.
Menurutnya, Tok Bali tidak lagi hanya dikenali sebagai kawasan perikanan dan pelabuhan tradisional, sebaliknya sedang melalui transformasi sebagai pusat industri maritim dan tenaga.
“Tok Bali kini berkembang sebagai hab logistik maritim, industri sokongan minyak dan gas serta pusat aktiviti offshore yang semakin penting di Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya ketika merasmikan operasi PETRONAIM, di sini.
Beliau menyatakan bahawa kedudukan Tok Bali di Lembangan Melayu Utara memberi kelebihan strategik kepada pembangunan industri di kawasan berkenaan.
“Pembangunan itu turut selari dengan agenda Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal mengukuhkan jaringan logistik negeri.
“Kelantan kini muncul sebagai pintu masuk strategik baharu yang mampu menghubungkan Pantai Timur dengan pasaran domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan supaya memudah cara urusan pelabur secara lebih cekap dan mesra industri.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAIM, Wan Nazaruddin Wan Nawi pula berkata, Tok Bali antara lokasi paling strategik di Pantai Timur bagi menyokong perkembangan industri minyak dan gas melalui pembangunan hab penyelenggaraan luar pesisir.
“Kedudukan Tok Bali yang berhampiran kawasan operasi North Malay Basin memberi kelebihan besar kerana jaraknya hanya sekitar 140 kilometer berbanding pangkalan lain yang melebihi 390 kilometer,” jelasnya.
Beliau menyatakan, PETRONAIM ditubuhkan sebagai ‘fabrication’ yard khusus bagi menjalankan aktiviti penyelenggaraan luar pesisir untuk syarikat offshore di Pantai Timur.
“PETRONAIM bukan sahaja terlibat dalam operasi teknikal, malah menjadi rakan strategik dalam pengurusan dan perundingan kontrak penyelenggaraan bersama pemain industri minyak dan gas termasuk syarikat luar negara,” katanya.
“Syarikat itu juga mahu memperkukuhkan penglibatan syarikat tempatan melalui proses ‘localization’ bagi mengurangkan kos logistik dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Menurutnya lagi, pembangunan industri tersebut bakal membuka peluang kepada vendor tempatan, kontraktor, pembekal bahan mentah dan tenaga kerja mahir anak Kelantan.
“PETRONAIM turut merancang menubuhkan PETRONAIM Academy bagi melatih lepasan SPM dan belia tempatan dalam bidang teknikal termasuk ‘welding’, ‘fitter’, ‘piping’ dan ‘electrical and instrumentation’ (E&I),” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2026




















